Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Mohamad Arfan Mohamad Nor Asmadi (praktikal)
KUANTAN, 31 MAC 2022 : Kerajaan Pahang menilai semula dasar semasa yang berkaitan termasuklah Dasar Agromakanan Negara 2021 – 2030 (DAN 2.0) dengan memfokuskan pertanian pintar bagi memodenkan sektor terbabit.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir. Haji Mohd Soffi Tan Sri Abdul Razak berkata, kaedah pertanian pintar diterapkan bertujuan meningkatkan produktiviti yang merangkumi semua subsektor agromakanan dan ia juga merupakan antara aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama yang telah digariskan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
“Jabatan Pertanian telah mula menerapkan teknologi pertanian pintar ini seperti Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) yang mempunyai pengusaha komersil, muda dengan dilengkapi liputan internet yang baik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi Penggulungan Perbahasan Titah Diraja Sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini.
Tambahnya, pengeluaran hasil pengeluaran makanan meningkat sebanyak 7.4 peratus berbanding tahun 2020 sebanyak 624,590 tan metrik yang disumbang oleh pengeluaran buahan, sayuran dan tanaman kontan.
“Jabatan Pertanian akan terus meningkatkan pengeluaran bahan makanan dan keutamaan yang menjadi Petunjuk Prestasi Utama Jabatan adalah membimbing sebanyak mungkin ladang atau kebun yang mempraktikkan Amalan Pertanian Yang Baik sehingga memperoleh persijilan myGAP,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sebanyak 468 latihan telah dilaksanakan pada 2021 bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran kepada 9,116 petani di seluruh Pahang.
Bagi sektor perikanan, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi berkata, kerajaan telah bersetuju memberikan bantuan berjumlah RM880,000 kepada penternak dan nelayan merangkumi bantuan makanan ternakan ikan dan bantuan ‘in-kind’ dalam bentuk barangan peralatan seperti jala, jaring dan peralatan keselamatan.
Kerajaan negeri telah memperkenalkan insentif Skim Makmur Ternak yang menyediakan bantuan dalam bentuk geran pemadanan bagi perolehan baka dan induk ternakan ruminan serta geran penuh bagi bantuan input infrastruktur dan peralatan penternakan.
Sehubungan itu, kerajaan akan meneruskan insentif memperkasa Ekonomi Agropreneur Rizab Ternakan Makanan (MEKAR) bagi membantu penternak membangunkan homeplot tanaman rumput bagi mengurangkan kebergantungan kepada dedak komersil. – PAHANGMEDIA