Oleh: Fairus Mohd
Foto: Muhammad Shamim Aiman Shafik Fauzan (praktikal) dan Mohamad Arfan Mohamad Nor Asmadi (praktikal)
KUANTAN, 30 MAC 2022: Pahang memiliki 436,910.47 hektar Tanah Rizab Melayu yang direkodkan sehingga 25 Februari tahun ini di mana ia akan dibangunkan mengikut lokasinya yang strategik dan bersesuaian dengan keperluan masyarakat setempat.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, antara contoh pendekatan pelaksanaannya adalah melalui pembangunan Skim Tanah Rakyat (STR) yang mana merupakan suatu bentuk pembangunan berkonsepkan Rancangan Tanah Kelompok (RTK).
“Tanah rizab ini akan dijadikan lot kediaman atau diusahakan dengan aktiviti pertanian dengan objektif untuk meningkatkan lagi taraf sosioekonomi masyarakat orang Melayu.
“Kerajaan Negeri juga melaksanakan strategi serampang dua mata dengan peningkatan keluasan tanah Rizab Melayu seluas 7,814.37 hektar melalui kejayaan pelaksanaan Skim Tanah Rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dikemukakan Ahli Dewan Negeri (ADN) Padang Tengku, YB. Dato’ Mustapa Haji Long pada sesi soal jawab Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Dalam pada itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, hanya separuh bayaran premium (daripada nilai sebenar premium tanah) dikenakan Kerajaan Negeri untuk setiap kelulusan bagi memudahcara pemilikan rumah atau hartanah di kalangan orang Melayu.
“Pendekatan ini jelas telah banyak membantu mengurangkan kos pemilikan tanah, kos pembangunan serta pada masa sama dapat menyumbang kepada peningkatan peratusan pegangan/pemilikan tanah orang melayu di negeri ini,” katanya.
Sementara itu, menyentuh berkenaan kawalan kelulusan pemajuan di Negeri Pahang, beliau berkata jabatan ini menggunapakai Pekeliling YB. Setiausaha Kerajaan Pahang Bil.1/2019.
“Ia melibatkan penetapan keperluan penyediaan 30 peratus rumah kos sederhana rendah bagi pembangunan yang dibuat di atas tanah milik, namun dasar ini dikecualikan bagi pemaju di atas Tanah Rizab Melayu bagi memberi peluang pembangunan yang bernilai tinggi dapat dilaksanakan.
“Bagi Tanah Rizab Melayu di kawasan perbandaran, semua Rancangan Tempatan Daerah di negeri Pahang telah dizonkan sebagai kawasan pembangunan baru seperti perumahan, komersial dan industri,” katanya. – PAHANGMEDIA