Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 23 MAC 2022 : Kerajaan Pahang menubuhkan Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Pahang (JPSP) dalam menyampaikan hasrat kerajaan untuk sentiasa peka terhadap kemaslahatan umum.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pelajaran Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, penubuhan JPSP ini dilihat sebagai satu langkah yang tepat dan progresif.

“Berdasarkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pahang dan disahkan dalam MMK Pahang pada 3 Ogos 2016 telah bersetuju meluluskan cadangan pengasingan Bahagian Pendakwaan Syariah Pahang daripada Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) untuk dinaik taraf kepada satu jabatan baharu.
“Langkah pengasingan bahagian pendakwaan syariah dan pewujudan sebuah jabatan baharu adalah selaras dengan agenda dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang mensasarkan objektifnya untuk mentransformasikan kerajaan agar menjadi lebih efektif dalam penyampaian perkhidmatan dan bertanggungjawab atas keberhasilan yang menjadi keutamaan kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pengenalan dan Pelancaran Logo Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Pahang di Hotel Swiss-bel di sini.
Turut hadir, YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Tuan Saiful Edris Zainuddin; Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang, YH. Dato’ Zakaria Ibrahim dan Pengarah Ketua Pendakwa Syarie, YH. Tuan Haji Abu Kasim Pilus.
Beliau berkata JPSP juga telah berjaya membawa peranan utama sebagai pendakwa syarie dalam mengendali dan melaksanakan kes pendakwaan bagi kesalahan jenayah syariah yang berlaku di Pahang.
“Pendakwaan di Mahkamah Syariah Negeri Pahang adalah berpandukan tiga undang-undang utama iaitu Undang-Undang Tatacara Jenayah Syariah, Undang-Undang Keterangan Mahkamah Syariah dan Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah.
“Dalam konteks yang lebih mendalam, Ketua Pendakwa Syarie mempunyai kuasa menurut budi bicaranya bagi memulakan, menjalankan dan memberhentikan sebarang prosiding bagi sesuatu kesalahan di hadapan Mahkamah Syariah,” katanya.
Tambah beliau lagi, majlis ini diadakan bersempena dengan tiga tahun penubuhan JPSP yang bermula 1 Januari 2019 sehingga kini.
“Sebagaimana kita semua telah dimaklumkan sebentar tadi bahawa sebelum ini pendakwaan diletakkan di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), dan dinamakan sebagai bahagian pendakwaan,” katanya. – PAHANGMEDIA