BENTONG, 23 MAC 2022 : YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail hari ini menyerahkan Geran Komuniti Sejahtera Keluarga Malaysia bagi Negeri Pahang di Majlis Perbandaran Bentong di sini.
Replika cek geran berkenaan diserahkan kepada wakil Exco Kerajaan Negeri untuk diserahkan kepada KRT di setiap daerah.
Sebanyak 552 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) diwartakan di Negeri Pahang setakat 22 Mac 2022 dengan jumlah peruntukkan keseluruhan sebanyak RM3.312 juta.
Kerajaan Persekutuan melalui Belanjawan 2022 telah meluluskan geran sebanyak RM6,000 kepada setiap KRT bagi menghargai peranan KRT dalam mendukung agenda perpaduan dan budaya sukarelawan di peringkat komuniti.
Dengan peruntukan tersebut, KRT dapat melaksanakan peranannya secara lebih aktif dan berkesan untuk memastikan keselamatan, kesejahteraan dan keharmonian komuniti Keluarga Malaysia. – PAHANGMEDIA