Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Muhammad Muslimi Abd. Rahim
KUANTAN, 23 FEBRUARI 2022 : Kerajaan Pahang memperkasa golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di negeri itu menerusi pelancaran Pahang Pride Orang Kurang Upaya (OKU) dalam usaha memastikan kebajikan dan perkembangan golongan itu terus diperkasa.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, golongan OKU terbabit perlu dibantu dengan menyediakan akses dan kemudahan yang sepatutnya supaya dapat membina potensi dan kecemerlangan dalam kerjaya mahu pun kehidupan.
“Kerajaan juga telah menubuhkan Majlis Penasihat OKU (MPO) Pahang pada 15 September 2021 dan kerajaan juga telah bersetuju memperuntukkan sebanyak RM150,000 setahun bagi menjalankan aktiviti dan program ke arah kesejahteraan OKU agar mereka terus dibela.

“MPO juga berperanan menyelia pelaksanaan dasar OKU, membuat syor berhubung golongan itu seperti sokongan, penjagaan, perlindungan, rehabilitasi, advokasi, pembangunan dan kesejahteraan OKU di negeri ini,” katanya.
Teks ucapan beliau telah dibacakan oleh YB Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Ishak Haji Muhamad pada Majlis Perasmian Pahang Memperkasa OKU Tahun 2022, di Hotel Swiss-Bel, Kuantan.
Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Pembangunan OKU Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Malaysia, YH. Encik Zuhami Omar dan Pengarah JKM Pahang, YH. Encik Zulkhairi Zainol Abidin.
Pada majlis itu turut disampaikan moc cheque Sumbangan Prihatin One Off Kerajaan Pahang kepada PDK seluruh Pahang.
Beliau berkata, Kerajaan Pahang juga telah memperuntukkan sejumlah RM520,000 kepada 52 Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti bagi meningkatkan potensi pemulihan OKU dan mengelakkan kecacatan yang lebih teruk.

Sumbangan one off sebanyak RM250 turut diberikan kepada 300 penyelia dan petugas Pusat Dalam Komuniti (PDK) dengan jumlah RM75,000.
“Kerajaan juga menyeru agar pihak swasta dapat membantu dalam menyediakan kemudahan dan platform strategik untuk membentuk kemahiran yang sesuai serta mewujudkan peluang kerjaya termasuklah menceburi bidang perniagaan,” katanya.
Beliau juga tidak menafikan sumbangan dan peranan golongan OKU terhadap pembangunan dan kemajuan negara yang cemerlang di dalam pelbagai sektor seperti perkhidmatan awam, sektor korporat, usahawan dan bidang pendidikan selain mengharumkan nama negara di persada antarabangsa. – PAHANGMEDIA