Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi dan Mohamad Arfan Mohamad Nor Asmadi
KUANTAN, 23 FEBRUARI 2022 : Pelajar yang menerima bantuan persekolahan melalui program Pahang Pride Student meluahkan rasa syukur dan gembira.

Bagi Shameen Alyssa Mohd Kamizi, 13, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Afzan, bantuan yang diterima meringankan beban ayah dan ibunya.
“Saya anak sulung daripada enam beradik, jadi bantuan ini sedikit sebanyak meringankan beban ayah dan ibu dalam menyediakan persiapan persekolahan saya.
“Terima kasih Menteri Besar Pahang kerana membantu pelajar sekolah seperti kami,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas Majlis Pelancaran Pahang Pride Student di Pekarangan MBS World, Jalan Tanah Putih, Kuantan semalam.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Putih, Edwin Chan, 17, dan Kong Yong Han, 17, turut menyambut baik program Pahang Pride Student.
“Terima kasih Menteri Besar Pahang kerana prihatin dengan kami. Bantuan ini ringan beban ibu bapa kami yang perlu cari wang untuk belanja sekolah,” katanya.
Murid SJKC Chung Ching, Kusshalen Paramasivam, 12, turut gembira dengan bantuan yang diterima.

“Saya gembira dapat bantuan persekolahan dan kad diskaun beli barang sekolah. Terima kasih Kerajaan Pahang diwakili Menteri Besar Pahang kerana bantu kami,” katanya.
Melalui bantuan persekolahan bernilai RM100 kepada pelajar miskin dan miskin tegar, ia merangkumi set persekolahan seperti beg sekolah, buku, alat tulis, kamus, Iqra’ bagi pelajar beragama Islam, kalkulator bagi pelajar sekolah menengah dan lain-lain.

Pemberian kad diskaun 20 peratus kepada ketua isi rumah kategori B40 dan M40 pula untuk membeli barangan persekolahan di MBS Book and Stationaries yang terdapat di sekitar negeri Pahang. -PAHANGMEDIA