Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 10 FEBRUARI 2022 : Model pembangunan Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) diharap dapat dijadikan penanda aras bagi mencorakkan maahad tahfiz di negara ini pada masa hadapan.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hasanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, ini berikutan MTNP telah mencipta kecemerlangan dalam pelbagai segi.

“Hasrat menjadikan maahad tahfiz ini sebuah institusi pendidikan tahfiz terulung di Malaysia, kini hampir pasti menjadi kenyataan.
“Inilah tempatnya, inilah masanya, untuk kita melahirkan modal insan yang seimbang dari aspek duniawi dan ukhrawi demi menyediakan bakal pemimpin negara pada masa hadapan.
“Semoga legasi kecemerlangan akan diteruskan dan negeri Pahang Darul Makmur akan mendapat manfaat daripada kecemerlangan pelajar-pelajar terbaik ini,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Pengurniaan Anugerah Kecemerlangan & Khatam Hafazan Al-Quran Maahad Tahfiz Negeri Pahang 2021 di sini hari ini.

Turut hadir, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Salehuddin Ishak dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.
Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada YAB Menteri Besar Pahang yang sentiasa komited dalam memastikan maahad tahfiz sentiada berada di landasan seperti yang dihasratkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.
“Semoga kolaborasi yang penuh sinergi ini dapat memberikan seribu manfaat kepada institusi pendidikan tahfiz bukan sahaja di Pahang malah di seluruh negara,” titah baginda.
Baginda turut menzahirkan pandangan berkenaan pembukaan pusat tahfiz yang baharu di negeri ini perlulah disemak terlebih dahulu dengan teliti dan pusat tahfiz sedia ada perlu sentiasa diperiksa demi kebajikan semua pihak.
“Saya dimaklumkan bahawa di Negeri Pahang ketika ini terdapat lebih daripada 100 buah pusat tahfiz persendirian dan swasta yang telah dibangunkan.
“Namun saya turut ingin menzahirkan pandangan bahawa pusat-pusat tahfiz ini perlulah di tadbir urus dengan baik dan profesional.
“Saya tidak mahu berbangga dengan bilangan pusat tahfiz yang banyak tapi pengurusannya lemah, asramanya usang, atapnya bocor, kebajikan pelajarnya tidak terjaga,” titah baginda.
Baginda turut bertitah supaya memastikan semua perkara dilakukan secara bersungguh-sungguh dan dapat disiapkan dengan sempurna.
“Janganlah sehingga pembukaan pusat-pusat tahfiz yang baharu nanti dibuat bagai gulai sedap, nasi mentah, nasi sedap, gulai pula mentah.
“Kata hikmat orang tua Melayu ini amat sesuai kita jadikan teladan dan iktibar buatlah sesuatu perkara itu bersungguh-sungguh dan siap dengan sempurna,” titah baginda. -PAHANGMEDIA