KUANTAN, 10 FEBRUARI 2022 : Beberapa lokasi yang sering berlaku bandir di Kuantan, Lipis, Raub dan Pekan telah dikenalpasti bagi pembinaan penempatan baharu mangsa banjir.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, namun usaha jangka panjang itu memerlukan perancangan menyeluruh selain perbincangan terperinci bersama dengan penduduk terlibat sebelum keputusan dimuktamadkan.
“Kerajaan Pahang telah mengenalpasti kawasan namun perlu jumpa dan mengadakan libat urus dengan mangsa banjir kerana tidak mahu timbul masalah lain pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya perancangan penempatan mangsa banjir di Pahang pada sidang media selepas menerima borang keahlian UMNO daripada ahli Bersatu Bahagian Maran di Kuantan semalam.
Selain itu, ditanya dakwaan beberapa pihak kononnya kerajaan negeri meminta penduduk memulangkan geran tanah jika dipindahkan ke lokasi baharu, Wan Rosdy menyifatkan ia sebagai khabar angin.
Mengulas lanjut, beliau berkata beberapa cadangan jangka pendek sedang diperhalusi dalam menambah baik pengurusan bencana di negeri itu.
Katanya, ketika perjumpaan bersama dengan pegawai daerah dan jurutera Cameron Highlands, mereka bangkitkan supaya diadakan penggera bagi kenal pasti pergerakan tanah selain memberi kursus kepada komuniti kampung mengenai cara menyelamat mangsa banjir.
Oleh itu, peralatan seperti bot dan sebagainya diperlukan, ini antara pendekatan jangka pendek yang perlu diberi keutamaan. – PAHANGMEDIA