Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
BERA, 29 JANUARI 2022 : “Isu banjir ini kita nak selesaikan secara menyeluruh, kita tak nak macam firefighter (bomba), ada banjir kita react,” ujar YAB. Perdana Menteri berkenaan bencana banjir yang melanda negara.
YAB. Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Kerajaan akan mencari penyelesaian bagi jangka masa panjang berkenaan isu ini.
“Setiap tahun Kerajaan mengeluarkan belanja, kalau perbelanjaan kerajaan tersebut digunakan untuk mengurangkan tekanan ataupun mengurangkan beban banjir dengan membina tebatan banjir, mengambil tindakan untuk mengadakan projek-projek tebatan banjir ini yang satu hari nanti akan selesai.
“Tapi kalau tidak dilaksanakan, maka Kerajaan akan menanggung kerugian setiap tahun sedangkan isu ini berlanjutan dari dulu lagi dan isu yang sama juga timbul.
“Jadi kali ini kita nak dapatkan pandangan daripada Kementerian Alam Sekitar, daripada Kerajaan Negeri sebab Kerajaan Negeri juga sama-sama dalam isu banjir ini dan dalam menangani isu banjir ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Wang Bantuan Pembelian Barangan Keperluan MTL 2021/2022 Daerah Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, yang juga Ahli Dewan Negeri Guai, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman; dan dan Pegawai Daerah Bera, YH. Dato’ Zaman Azam Mohamat Sarif@Ahmat.
Bantuan RM2,500 yang mula diberikan oleh Kerajaan hari ini telah disampaikan kepada 1,157 penerima di daerah ini hari ini.
Beliau berkata Kerajaan juga akan menanggung kerugian setiap tahun sedangkan isu ini telah berlanjutan sejak dahulu lagi.
“Bila banjir isu yang sama juga timbul. Bila banjir alasannya sama. Tapi penjelasan daripada alasan tersebut tidak dibuat secara yang jelas.
“Kalau kita lihat baru-baru ini di Sri Muda, banjir kilat berlaku sekali lagi. Alasannya longkang tersumbat. Jadi longkang tersumbat dibawah PBT (Pihak Berkuasa Tempatan). Jadi sebab itulah semua pihak mesti memainkan peranan bersama-sama untuk mengurangkan banjir, daripada berlakunya banjir.
“Kerana kesan daripada banjir ini bukan saja dari segi kewangan, tahun ini RM6 bilion lebih Kerajaan terpaksa ditanggung. Dengan RM6 bilion yang ditanggung ini mungkin banyak penyelesaian boleh dilakukan.
“Mungkin boleh memdalamkan sungai, melebarkan sungai, meninggikan tebing dan sebagainya kalau digunakan RM6 bilion itu. Tapi akhirnya RM6 bilion digunakan untuk memperbaiki kerosakan (akibat banjir),” katanya.
Tambah beliau lagi, Kerajaan juga akan memanggil kementerian berkaitan dan Kerajaan Negeri terlibat bagi mesyuarat khas jawatankuasa pengurusan banjir.
“…ada yang mencadang supaya diadakan perumahan banjir seperti dulu. Dulu yang ditepi-tepi sungai (kediaman) kita pindahkan ke tempat yang lebih tinggi. Ini juga merupakan salah satu daripada cara kita mengatasi bencana yang boleh merosakkan rumah dan juga kehidupan mereka yang tinggal di tepi sungai.
“Tapi untuk pindahkan mereka ini ke tempat yang lebih tinggi tentu sahaja memerlukan kerjasama Kerajaan Negeri kerana tanah terletak di bawah Kerajaan Negeri. Jadi secara keseluruhannya kementerian yang berkaitan, Kerajaan Negeri yang berkaitan akan dipanggil untuk mesyuarat khas jawatankuasa pengurusan banjir,” katanya. -PAHANGMEDIA