YAB Perdana Menteri, Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan Wang Bantuan Pembelian Barangan Keperluan MTL 2021/2022 Daerah Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera, hari ini.

PENERIMA WANG BANTUAN PEMBELIAN BARANGAN KEPERLUAN MTL LAHIR RASA LEGA, RINGANKAN BEBAN MEREKA

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

BERA, 29 JANUARI 2022 : Para penerima Wang Bantuan Pembelian Barangan Keperluan Monsun Timur Laut (MTL) melahirkan rasa lega dengan bantuan yang diterima.

Salah seorang penerima, Puan Junainah Mat Nasir, 47, dari Taman Kerayong Indah, di sini melahirkan rasa lega dengan wang bantuan sebanyak RM2,500 yang disampaikan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.

Puan Junainah Mat Nasir

“Rasa lega sangat dengan bantuan wang ini, saya boleh guna untuk beli perabot-perabot rumah yang habis rosak masa banjir baru-baru ini.

“Bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu kami (mangsa banjir) untuk memulakan semula hidup kami, rumah kami yang terjejas,” katanya.

Manakala seorang lagi penerima bantuan, Puan Maizura Mohd Taib, 53, dari Kuala Triang melahirkan penghargaan yang tidak terhingga kepada Kerajaan.

Puan Maizura Mohd Taib

“Terima kasih banyak-banyak dengan bantuan ini yang nilainya juga lebih banyak dari sebelum ini.

“Rasa gembira sangat. Bolehlah saya guna duit ini untuk beli barangan rumah yang rosak masa banjir macam almari, meja, dan tikar getah guna duit ini,” katanya.

Bagi Encik Baharuddin Mohamad,60, dari Kampung Guai pula bantuan ini dapat mengurangkan beban dan kerugian yang ditanggung akibat bencana banjir.

Encik Baharuddin Mohamad

“Rasa gembira dan lega dengan bantuan wang yang dapat hari ini. Sekurang-kurangnya bantuan ini dapatlah mengurangkan beban kami selepas banyak kerugian setelah musnah dan rosak akibat banjir sebelum ini.

“Saya bercadang mungkin nak beli almari serta keperluan rumah yang lain memandangkan banyak barang rumah yang dah rosak akibat banjir,” ujarnya.

Sebanyak 1,157 penerima bantuan Wang Bantuan Pembelian Barangan Keperluan MTL menerima RM2,500 yang mula diberikan kepada penerima terjejas banjir di daerah Bera yang merupakan penerit pertama bantuan ini.

Bantuan wang berkenaan disampaikan sendiri oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob pada Majlis Penyerahan Wang Bantuan Pembelian Barangan Keperluan MTL 2021/2022 Daerah Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, yang juga Ahli Dewan Negeri Guai, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman; dan dan Pegawai Daerah Bera, YH. Dato’ Zaman Azam Mohamat Sarif@Ahmat.

YAB Dato’ Sri Ismail Sabri berkata Kerajaan memutuskan untuk memberi wang bantuan ini dalam bentuk wang tunai bagi memudahkan para penerima untuk menggunakan wang tersebut mengikut keperluan masing-masing.

“Kalau kita (Kerajaan) bagi barang, mungkin mangsa dah ada terima barang tersebut. Jadi kita bagi duit kepada mangsa supaya senang mereka nak beli apa pun,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download