Anggota bomba membantu mangsa banjir dari Kampung Tanjung Pulai dan Kampung Pulau Manis Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SMK Lepar.

PENDUDUK DI TEBING SUNGAI PAHANG KINI BERJAGA-JAGA

Oleh: Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

PEKAN, 22 DISEMBER 2021 : Penduduk di sepanjang tebing Sungai Pahang di daerah ini sudah maklum berkenaan limpahan air yang akan tiba dari kawasan hulu dalam tempoh terdekat.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Pulau Manis, YB Dato’ Khairuddin Mahmud berkata, situasi berkenaan telah dilalui hampir saban tahun jadi penduduk sentiasa diingatkan agar bersiap sedia untuk berpindah.

“Banjir akibat limpahan air Sungai Pahang bukan satu perkara yang baru bagi penduduk di kawasan terlibat.

Anggota bomba membantu mangsa banjir dari Kampung Tanjung Pulai dan Kampung Pulau Manis Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SMK Lepar.

“Kita sedang menghadapi (limpahan) air yang mula sampai dari Temerloh, jadi operasi semalam kita pindahkan penduduk dari Kampung Pelak, Kampung Tanjung Cempaka dan Kampung Bunut melibatkan 232 orang.

“Selain itu 24 mangsa dari Kampung Tebat turut dipindahkan. Saya juga dimaklumkan oleh Pegawai Daerah dalam mesyuarat harian, kita kini sedang menanti air dari Ulu Tembeling.

“Belum sampai pun dah macam ni (banjir) jadi saya berharap penduduk yang menyedari (air mula naik) berpindahlah meninggalkan rumah masing-masing pada peringkat awal, jangan dah sampai tengah malam baru nak minta bantuan untuk pindah keluar, ia akan menyukarkan usaha penyelamat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyertai operasi memindahkan seramai 45 orang penduduk dari Kampung Tanjung Pulai dan Kampung Pulau Manis.

Kesemua 45 orang mangsa daripada sembilan buah keluarga ini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SMK Lepar.

Turut serta, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Peramu, Wan Samsul Afendi Wan Mahmud; Pegawai Daerah Pekan, YH Dato’ Zaliza Zulkefli serta Ketua Kampung Tanjung Pulai / Pulau Manis Shahruddin Hj Ahmad.

Penduduk di beberapa kawasan di Pekan mula berpindah selepas air Sungai Pahang mula melimpah tebing

Sementara itu, beliau turut memaklumkan bahawa penduduk Bukit Kenau telah terputus hubungan (jalan) dan tidak dipindahkan ekoran kedudukan kawasan perumahan agak tinggi.

“Hari ini hari ketiga (terputus hubungan), jadi kita telah menghantar bekalan kepada penduduk di sana, selain bekalan pengkalan hadapan yang telah disediakan sebelum ini.

“Namun kita sentiasa bersedia sebarang kemungkinan luar biasa (berlakunya) banjir) bagi memastikan seramai 350 orang daripada 54 buah keluarga di Bukit Kenau berada dalam keadaan selamat,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download