Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 9 DISEMBER 2021 : Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dilaksanakan di Pahang akan memberikan impak yang besar kepada ekonomi dan pembangunan di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman berkata, projek terbabit dapat merancakkan pembangunan ekonomi dan membuka banyak peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini di sepanjang jajaran ECRL.
Jelasnya, terdapat tujuh stesen ECRL yang akan dibina di Pahang iaitu Stesen Cherating, Kuantan Port City, KotaSAS, Paya Besar, Maran, Temerloh dan Bentong.
“Kerajaan Pahang sentiasa komited untuk memastikan pembangunan-pembangunan di sekitar stesen ECRL yang berorientasikan Transit Oriented Development (TOD) dapat merancakkan lagi aktiviti ekonomi dan pembangunan yang akan memberikan manfaat kepada rakyat dari segi peluang pekerjaan dan perniagaan, kemudahan infrastruktur serta jaringan pengangkutan awam yang lebih baik,” katanya.
Beliau berucap demikian pada sesi penggulungan sempena Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.
Jelasnya, sehingga November 2021, kerja-kerja pembinaan projek ECRL di Pahang telah mencapai sehingga 28.56 peratus dan keseluruhan projek dijangka dapat disiapkan pada Disember 2026.
Selain itu, beliau berkata, projek ECRL juga akan menarik minat pelabur asing untuk melabur di kawasan-kawasan perindustrian di Pahang seperti Kawasan Perindustrian Gebeng, Taman Teknologi Pahang dan Kawasan Perindustrian Bentong.
“Ini adalah kerana projek ECRL juga menawarkan laluan yang lebih baik untuk perdagangan antarabangsa bagi industri perniagaan yang berorientasikan eskport kerana menghubungkan Pelabuhan Kuantan dan Pelabuhan Klang,” katanya.
Dalam pada itu, Kerajaan Pahang juga prihatin terhadap kebajikan penduduk yang terjejas akibat pelaksanaan projek ECRL.
Justeru, pihak Malaysia Rail Link (MRL) Sdn. Bhd. dan China Communication Construction Company (CCCC) melaksanakan pembayaran saguhati kepada 31 pengusaha ternakan ikan sangkar yang terjejas disebabkan pembinaan jambatan projek ECRL di Daerah Temerloh.
Sementara itu, Menjawab soalan daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Cheka, YB. Encik Lee Ah Wong berhubung kesesakan pesakit di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, beliau berkata, Kerajaan Pahang bersama Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) sedar dengan keluhan rakyat sejak sekian lama.
Ketika ini HTAA berfungsi sebagai hospital rujukan utama di negeri ini dan beberapa rangka penambahbaikan telah disiapkan seperti pembinaan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak dengan jumlah 200 katil di Kawasan Tanjung Lumpur. – PAHANGMEDIA