Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Yang Ke-14 Sidang Dewan Negeri (DN) Pahang di Wisma Sri Pahang, hari ini

SIDANG DEWAN NEGERI : RM27.51 JUTA FAEDAH BUAT MAJIKAN DAN PEKERJA

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 9 DISEMBER 2021 : Sebanyak RM27.51 juta pembayaran faedah meliputi perlindungan kepada lebih 17,729 majikan dan 229,819 pekerja telah ditunaikan Kerajaan Negeri melalui Perkeso.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain berkata, Perkeso juga telah menyalurkan lebih RM580 juta kepada lebih 13,000 perusahaan majikan yang mana memberi manfaat pengekalan kerja kepada lebih 85,000 pekerja yang terlibat serta mengelakkan daripada berlakunya perbehentian pekerja secara mendadak.

“Sepanjang tahun 2021, Perkeso telah mengadakan lebih 136 aktiviti berkaitan temuduga dan dengan kewujudan portal pekerjaan myfuturejobs telah menjana lebih 51,000 peluang pekerjaan serta melibatkan 27,000 pencari kerja berdaftar serta berjaya mengembalikan bekerja lebih 7,000 pencari kerja di negeri ini.

“Perkeso melalui program ‘return to work’ juga telah berjaya mengembalikan sebanyak 315 pencarum untuk bekerja semula bermula Januari hingga November 2021 bagi memastikan mereka yang kemalangan dan mengalami masalah kesihatan dapat kembali semula bekerja dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Yang Ke-14 Sidang Dewan Negeri (DN) Pahang di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Dalam pada itu beliau berkata, Kerajaan Negeri dengan kerjasama agensi-agensi berkaitan akan melaksanakan inisiatif berterusan bagi membantu golongan pekerja dalam industri gig bagi mendapatkan pakej perlindungan keselamatan sosial di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri bagi skim bencana kerja pekerjaan sendiri.

“Sebanyak RM50,000 diperuntukkan bagi menggerakkan aktiviti penyelarasan dan program sehari bersama delivery riders yang merupakan inisiatif pertama dan belum pernah dilaksanakan sebelum ini.

“Program ini akan menyasarkan 100 peratus penglibatan daripada anggaran 2,000 golongan delivery riders di negeri pahang untuk mendapat manfaat di bawah akta yang diperuntukkan di bawah Perkeso,” katanya.

Sementara itu, beliau memaklumkan sebanyak 11 program Jelajah Kerjaya dirancang bagi tahun 2022 antaranya selain empat program mini karnival dan satu program karnival negeri dengan melibatkan peruntukkan sebanyak RM450,000 dengan sasaran penawaran kerja sebanyak 25,000 kekosongan dan 9000 pencari kerja terlibat.

“Bagi kejohanan Sukma, Pahang mensasarkan untuk terus berada dalam kelompok lima pasukan terbaik, justeru peruntukan tambahan sebanyak RM2.3 juta akan digunakan sepenuhnya bagi pembelian peralatan latihan, peralatan kejohanan dan juga penyertaan kejohanan Sukma 2022.

“Beberapa pusat latihan baru juga telah dirancang pada tahun 2022 antaranya ialah Pusat Kecemerlangan Sukan Petanque di Indera Mahkota, Pusat Kecemerlangan Sukan Kayak dan Muay Thai di Jerantut,” katanya.

Selain itu katanya, kerja-kerja baik pulih lapang sasar sukan menembak juga akan dilaksanakan pada tahun 2022 memandangkan fasiliti sedia ada telah melalui kerosakan teruk dan sukan menembak merupakan sasaran emas utama bagi negeri Pahang dengan peruntukan yang diluluskan ialah sebanyak RM1.8 juta. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download