Oleh: Fairus Mohd
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi dan Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 6 DISEMBER 2021: Pahang menjangkakan pengeluaran hasil ternakan sebanyak RM1.4 bilion sesuai dengan kedudukan negeri ini selaku salah sebuah negeri pengeluar utama makanan yang berasaskan ternakan iaitu daging, susu dan telur.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, dalam mengimbangi pembangunan industri penternakan, Kerajaan Pahang menerusi agensi bertanggungjawab iaitu Jabatan Perkhidmatan Veterinar akan terus komited dalam menjamin kesihatan ternakan dan bebas dari penyakit yang mempunyai kepentingan ekonomi dan zoonotik.
“Justeru, bagi menyokong pelan pemulihan ekonomi khususnya dalam industri penternakan di Negeri Pahang, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM17.09 juta pada tahun 2022 khusus dalam bentuk pelbagai program dan insentif kepada warga penternak dan industri hiliran sebagai sokongan kepada kumpulan sasar ini.
“Ia diharap menjadi suntikan semangat kepada warga penternak dan usahawan hiliran yang berkaitan untuk sama-sama bangkit memperkasakan ekonomi negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi ucapan Belanjawan Tahun 2022 pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Sementara itu berkenaan lonjakan ekonomi perikanan di negeri ini menyaksikan Pahang berada di kedudukan nombor empat di Semenanjung Malaysia dan di kedudukan pertama bagi Negeri Pantai Timur untuk pengeluaran ikan tangkapan.
“Bagi pengeluaran akuakultur pula, Pahang berada di kedudukan kelima dalam Semenanjung Malaysia dan kedudukan pertama bagi Negeri Pantai Timur manakala bagi pengeluaran perikanan darat pula, Pahang berada di kedudukan nombor dua di Malaysia dan pertama di Pantai Timur.
“Bagi memastikan bekalan ikan mencukupi, beberapa usaha untuk memperkukuhkan kelestarian sumber perikanan telah pun diberikan penekanan seperti pemodenan vesel dan teknologi penangkapan ikan, Pengurusan Perikanan Tangkapan seperti menubuhkan ‘Fisheries Management Plan’, Pemutihan Vesel dan Nelayan, ‘Marine Protected Areas’, Tukun Tiruan, Santuari, Bot Peronda dan Kolaborasi Penguatkuasaan,” katanya.
Dalam pada itu, kerajaan juga telah bersetuju untuk meluluskan pemberian bantuan in-kind kepada kira-kira 380 orang nelayan darat seluruh Negeri Pahang yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
Butiran peralatan adalah seperti jala, jaring dan peralatan keselamatan dengan nilai RM1,000 seorang di mana cadangan bantuan ini melibatkan implikasi kewangan keseluruhan sebanyak RM380,000. -PAHANGMEDIA