Oleh : Ain Nadhirah Basha
Putera Falliq Hakim Suhairi dan Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 6 DISEMBER 2021 : Kerajaan Pahang memperuntukkan sebanyak RM278.63 juta bagi pinjaman melanjutkan pelajaran kepada 21,011 pelajar tahun hadapan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata peruntukan ini bagi mendapatkan pinjaman untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi sama ada di dalam atau luar negara.
“Kerajaan Negeri melalui Yayasan Pahang juga komited untuk membantu meringankan bebanan pinjaman pendidikan anak Pahang dengan menawarkan pelbagai program bantuan seperti berikut; diskaun 20 peratus bagi pembayaran balik pinjaman, skim bayar RM50 selama 12 bulan bagi peminjam yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
“Insentif secara one-off sebanyak RM1,000 ditolak dari jumlah pinjaman; dan peminjam yang baru membuat potongan gaji diberikan insentif one-off RM1,000 ditolak dari jumlah pinjaman,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa memberikan ucapan Belanjawan Tahun 2022 Kerajaan Negeri Pahang bertemakan Kemakmuran Negeri, Manfaat Bersama, Rakyat Sejahtera pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Dewan Negeri Pahang Darul Makmur, hari ini.
Beliau berkata Kerajaan Negeri juga mensasarkan 80 peratus pelajar Orang Asli lulus dalam semua subjek peperiksaan.
“Kerajaan Negeri melalui Yayasan Pahang akan menerapkan modul untuk meningkatkan kadar literasi dari kalangan anak-anak Orang Asli.
“Laluan khas dan insentif juga disediakan kepada pelajar Orang Asli bagi kemasukan ke IPT milik Kerajaan Negeri Pahang. Insentif khas ini diberikan sebagai galakan untuk mendorong kemasukan pelajar Orang Asli ke IPT,” katanya. -PAHANGMEDIA