Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 06 DISEMBER 2021 : Kerajaan Pahang melalui Yayasan Pahang sedang melaksanakan Kompleks Warga Emas yang bercirikan bandar Islam moden ini terletak di atas tanah seluas 187 ekar di Penor di sini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata kompleks di Bandar Wakaf Madinah Mawaddah ini dirancang sebagai sebuah perbandaran yang sempurna yang di sokong oleh pelan pembangunan terperinci.
“Bandar ini akan menyantuni warga emas, qaryah tempatan, warga ilmu dan juga golongan asnaf dan gelandangan yang memerlukan perkhidmatan sokongan.
“Fasa 1 pembinaan sedang berjalan, yang meliputi Kompleks Warga Emas yang menyediakan 106 unit rumah warga emas kepada seramai 200 orang penghuni, surau atau pusat pengajian yang mampu memuatkan sekitar 600 jemaah dan beberapa fasiliti kemudahan sokongan.
“Fasa 1 dijangka siap akhir tahun 2022 dan penghuni pertama dijangka pada Mac 2023. Bandar Wakaf Madinah Mawaddah akan menjadi Bandar Wakaf Pertama di Malaysia dan desa ini adalah merupakan Desa Warga Emas yang terbesar di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa memberikan ucapan Belanjawan Tahun 2022 Kerajaan Negeri Pahang bertemakan Kemakmuran Negeri, Manfaat Bersama, Rakyat Sejahtera pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Dewan Negeri Pahang Darul Makmur, hari ini.
Beliau berkata Kerajaan Pahang juga memperuntukkan RM10 juta bagi Kad Kesihatan Warga Emas yang akan memberi manfaat kepada 18 ribu penerima di negeri ini.
“Kerajaan Negeri juga telah mewujudkan Jawatankuasa Pembangunan Warga Emas Negeri Pahang dengan peruntukkan sebanyak RM150,000.
“Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM692,000 bagi program ini yang akan melibatkan 277 NGO di seluruh Negeri Pahang bagi Pasukan Gerak Sihat Pahang (GSiP),” katanya.
Menurut beliau lagi, Kerajaan Negeri telah bersetuju memperuntukkan sebanyak RM10 juta melalui Kad Kesihatan Warga Emas yang akan memberi manfaat kepada 18,000 penerima di negeri ini. -PAHANGMEDIA