Oleh: Fairus Mohd
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi dan Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 6 DISEMBER 2021: Isu peningkatan pengangguran di kalangan graduan dan belia di negeri Pahang turut menjadi perhatian Kerajaan Pahang melalui usaha merangka Program Jaminan Kerjaya dalam pelbagai bidang teknikal dan keusahawanan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, seramai 1,060 orang usahawan daripada golongan asnaf, miskin bandar dan luar bandar, belia dan Orang Asli telah dilahirkan dari program usahawan fertigasi dan usahawan anchor yang mensasarkan peningkatan pendapatan sekitar RM7 juta bagi tahun 2022.
“Kerajaan Negeri juga mensasarkan 1,000 orang anak Pahang dibantu melalui program keusahawanan dengan peruntukan sebanyak RM8.2 juta selain mensasarkan seramai 2,000 orang belia anak Pahang mengikuti program berkaitan dengan peruntukan RM1 juta.
“Kerajaan negeri juga sedar program-program libat urus bersama belia perlu diadakan dan memperuntukkan sebanyak RM4.2 juta di mana kesemua program bersasar ini akan memberi impak kepada 187,500 orang di Pahang ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi ucapan Belanjawan Tahun 2022 pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Sementara itu Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, Kerajaan Pahang berhasrat untuk mengadakan program agroprenuer Pahang dengan pemberian geran pemula agro makanan Pahang/agropreneur muda dengan modal pemulaan RM10,000.
“Program ini terbuka kepada golongan muda berumur 18 hingga 30 tahun yang terpilih untuk menyertai projek fasa pertama di Tanaman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Tanjung Putus Paya Besar seramai 90 peserta dengan melibatkan 90 ekar, di mana setiap seorang peserta dapat 1 ekar dan modal permulaan.
“Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi fasa pertama ini kerana Kerajaan Negeri menyedari betapa pentingnya keusahawanan belia dan jaminan makanan,” katanya.
Dalam pada itu, Kerajaan Negeri turut memberi perhatian kepada pembangunan keusahawanan anak muda dengan memperkenalkan satu konsep baharu perniagaan berpusat atau foodlawn yang akan dijenamakan sebagai ‘Café Kome’.
“Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi keseluruhan projek ini dan sebagai projek perintis, Kerajaan Negeri melaksanakan projek ini di Kuantan dengan peruntukan sebanyak RM2.8 juta ringgit di mana upacara peletakan batu asas telah pun diadakan pada 3 Disember lalu,” katanya.
Selain itu, Kerajaan Pahang juga memperuntukkan sebanyak RM20 juta pada tahun hadapan melalui penyediaan pinjaman mikro kredit I-Push tanpa faedah kepada pemohon yang layak melalui kerjasama bank tempatan. -PAHANG MEDIA