BELANJAWAN PAHANG : KERAJAAN PAHANG AKAN MEMANTAPKAN SEKTOR PERLANCONGAN

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi dan Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 06 DISEMBER 2021 : Kerajaan Negeri Pahang mentransformasi sektor pelancongan ke arah yang lebih mantap sebagai strategi baharu menjana hasil pendapatan negeri.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ini adalah usaha Kerajaan Negeri untuk meningkatkan hasil berbanding hasil biasa yang diterima setiap tahun.

“Antara strategi yang dilihat mampu menjana pendapatan hasil yang lumayan, adalah dengan mentransformasikan sektor pelancongan negeri ke arah yang lebih mantap.

“Negeri Pahang yang dikurniakan tempat-tempat pelancongan berkonsepkan alam semulajadi, seperti pantai, pulau, hutan, gua dan kawasan peranginan tinggi bukan sahaja dapat menghasilkan pulangan yang baik, malah dapat dijadikan sebagai alternatif daripada kebergantungan kepada hasil sumber alam seperti sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa memberikan ucapan Belanjawan Tahun 2022 Kerajaan Negeri Pahang bertemakan Kemakmuran Negeri, Manfaat Bersama, Rakyat Sejahtera pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Dewan Negeri Pahang Darul Makmur, hari ini.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri juga bercadang untuk melihat beberapa perkara melibatkan penggunaan utiliti di negeri ini yang boleh memberikan hasil tambahan.

“Sebagai contoh, kerajaan akan melihat semula pelaksanaan projek hidroelektrik Ulu Jelai yang melibatkan bayaran terhadap laluan talian, kawasan takungan, kawasan tadahan, empangan, royalti air dan juga ganti rugi balak.

“Bayaran laluan talian dan menara TNB (Tenaga Nasional Berhad) di seluruh Negeri Pahang juga akan dituntut daripada pihak yang berkenaan.

“Bagi infrastruktur telekomunikasi, Kerajaan Negeri akan mengenal pasti pemilik struktur telekomunikasi yang terlibat dan akan mengenakan caj sewaan tahunan,” katanya.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri juga telah mengenal pasti ketirisan hasil yang melibatkan tanah di tanah rancangan FELDA.

“Bagi menangani ketirisan tersebut, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk meluluskan secara dasar pemberimilikan tanah di bawah Seksyen 76 Kanun Tanah Negara bagi tujuan pertanian kepada FELDA dalam kawasan FELDA.

“Sehingga kini Pentadbiran Tanah Pahang telah menerima 1,788 permohonan daripada pihak FELDA, dan sebanyak 685 permohonan telah diluluskan melibatkan tuntutan premium dan denda premium sebanyak RM86 juta.

“Kerajaan juga sedang mengambil tindakan yang sama bagi menuntut hasil negeri bagi tanah-tanah yang dimajukan oleh koperasi-koperasi FELDA dan kawasan FELDA,” katanya.

Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata Kerajaan Negeri juga melihat terdapat keperluan untuk mengkaji semula beberapa perundangan serta perjanjian-perjanjian lama yang tidak menguntungkan Kerajaan Negeri.

“Antaranya adalah seperti Enakmen Taman Negara (Pahang) 1939 yang masih mengekalkan caj masuk ke Taman Negara sebanyak RM1 sejak tahun 1939.

“Bagi meningkatkan hasil hutan perjanjian lama bagi projek-projek Ladang Hutan akan disemak semula, termasuklah menguatkuasakan arahan penanaman semula kepada operator,” katanya.

Tambah beliau lagi, Kerajaan Negeri juga akan mula mengenakan Cukai Kelestarian ke atas penginap hotel di Negeri Pahang.

“Kadar cukai RM3 dikenakan kepada penginap hotel bagi satu malam. Tahun 2022 ini diunjurkan Kerajaan Negeri menerima hasil sebanyak RM21 juta,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download