Oleh: Fairus Mohd
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi dan Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 6 DISEMBER 2021 : Pahang mampu berbangga kerana memiliki kawasan Hutan Tadahan Air seluas 384.84 hektar yang telah diwartakan iaitu 24 peratus dari jumlah keseluruhan keluasan kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) di negeri ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Pahang juga komited dengan menjadikan 1.6 juta hektar kawasan hutan di negeri Pahang menjadi kawasan HSK iaitu 57 peratus daripada keseluruhan kawasan hutan yang ada.
“Justeru, kita berharap pengekalan khazanah alam ini akan diganti dengan pampasan oleh Kerajaan Pusat seperti yang telah melalui sesi perbincangan awal sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi ucapan Belanjawan Tahun 2022 pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Pahang melalui Jabatan Perhutanan Negeri Pahang menyokong penuh Agenda Penghijauan Malaysia: Kempen Penanaman 100 juta pokok ‘1 Pokok, 1 Warga Pahang’ bagi meningkatkan kesedaran tentang pentingnya kawasan litupan hijau dan hutan untuk kesejahteraan dan kualiti hidup selain menambahbaik ekosistem dan biodiversiti negara.
“Program ini melibatkan semua agensi kerajaan, swasta dan NGO di negeri Pahang di mana semua aktiviti yang dirancang perlu melibatkan slot penanaman pokok dan sasaran penanaman ialah sebanyak lima juta pokok setahun sehingga tahun 2025.
“Untuk makluman, melalui kempen dan projek restorasi, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang telah berjaya menanam sebanyak 1,204,611 batang pokok melalui beberapa siri program penanaman yang antaranya program kempen kesedaran yang disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat,” katanya,
Sementara itu, beliau turut mengumumkan peruntukkan sebanyak RM1 juta untuk konservasi gajah liar dan juga menyediakan pampasan kepada petani atau mangsa yang menghadapi kerosakan pada harta benda akibat gajah liar berkeliaran ini.
“Senario gajah liar berkeliaran di pinggir perkampungan, di sekitar pedalaman Hulu Tembeling telah menjadi fenomena biasa bagi penduduk di kawasan Kampung Tuit Kuala Tahan.
“Keadaan ini dipercayai berlaku kerana gajah liar berkenaan sudah kekurangan makanan dan ketiadaan kawasan rayau akibat penerokaan hutan yang berlaku,” katanya. -PAHANGMEDIA