Pulau Tioman, Pahang.

KEMASUKAN PELANCONG KE TIOMAN HANYA MELALUI JETI TANJUNG GEMOK

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 23 SEPTEMBER 2021 : Kemasukan pelancong ke Pulau Tioman hanya akan menggunakan satu pintu masuk sahaja iaitu melalui Jeti Tanjung Gemok sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku jangkitan COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata ini kerana kesemua kemasukan ke Pulau Tioman adalah melalui jalan darat sahaja.

“S​ebabnya pertama sekali, adalah sukar untuk kita mengawal dari segi angka (pelancong yang masuk) sekiranya kedua-dua pintu masuk iaitu dari Tanjung Gemok dan Mersing dibuka.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Mohd. Sharkar Shamsudin

“Yang keduanya, jika ada jangkitan COVID-19 dan sebagainya, kita pun sukar nak nyatakan (punca berlaku jangkitan) daripada Rompin ke daripada Mersing.

“Jadi kita mencadangkan supaya hanya satu sahaja (pintu masuk dibuka) iaitu di Rompin, di Tanjung Gemok sebagai tempat untuk pelancong-pelancong masuk ke Pulau Tioman dengan menaiki bot” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media mengenai Pelaksanaan Gelembung Pelancongan Domestik Pulau Tioman di Wisma Sri Pahang yang turut dihadiri Pengurus Besar Tourism Malaysia Pahang, Kamarudin Ibrahim.

Menurut beliau lagi, Kerajaan Pahang juga telah menubuhkan satu pasukan petugas bagi menguruskan kawalan wabak ini yang melibatkan pelbagai agensi.

“Kawalan wabak ini akan diambil tindakan oleh PKD (Pusat Kesihatan Daerah) dengan melakukan penilaian risiko jika kes positif dilaporkan melebihi lima kes dalam satu premis, di mana terdapat keperluan mengeluarkan arahan penutupan premis dan sanitasi dilakukan.

“Arahan kuarantin akan dikeluarkan kepada kontak rapat yang telah dikenalpasti dan sanitasi kawasan premis akan dilakukan oleh pemilik premis tersebut dengan penyeliaan daripada pasukan kesihatan,” katanya.

Tambah beliau lagi, keanggotaan Tioman Task Force ini akan melibatkan enam bahagian iaitu kawalan pandemik, keselamatan, kawalan pintu masuk, pengindahan bandar, pelancongan, dan komuniti.

“Antara agensi terlibat adalah PKD Rompin, Hospital Rompin, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), RELA, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM), MARITIM, bomba, imigresen, Lembaga Pembagunan Tioman (TDA), kastam, dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Selain itu ia turut disertai Jabatan Laut, Jabatan Perikanan, Tourism Pahang, Persatuan Pengusaha Pelancongan Pulau Tioman, dan Pejabat Daerah Rompin,” katanya.

Tioman mampu menampung kira-kira 250,000 pelancong setahun dengan menawarkan 1,821 bilik daripada 103 hotel dan chalet yang ada, 30 pusat menyelam, tiga orang pemandu pelancong, dan 88 orang pemandu bot. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download