Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 22 SEPTEMBER 2021 : Peletakan jawatan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO adalah merupakan hak peribadi beliau, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Shamsudin.
YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar berkata, perletakan jawatan Ahli Parlimen Gua Musang itu dianggap perkara biasa dalam politik.
“Dia dari dulu sudah duduk sebagai berkecuali dan itu (perletakkan jawatan) merupakan pandangan peribadi beliau.
“Kita hormati pandangan beliau sebagai orang lama kerana itu adalah hak dia dan selagi dia tak letak jawatan sebagai ahli UMNO, dia masih bersama kita.
“Letak jawatan ini biasalah, macam ada orang letak jawatan Menteri, kerana ada orang yang mempunyai prinsip, jadi kita hormat prinsip mereka,” katanya.
Mengulas mengenai pemecahan UMNO kepada dua bahagian iaitu UMNO lama dan UMNO baharu, beliau berkata perkara itu tidak ada di dalam UMNO.
“Mana ada UMNO baharu dan UMNO lama, UMNO masih lagi satu dengan Presidennya masih lagi YB. Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalannya masih YB. Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan, Naib Presiden masih lagi YAB Perdana Menteri, YB. Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob; YB. Dato’ Seri DiRaja Haji Mahdzir Khalid; dan YBhg. Dato’ Seri Haji Mohamed Khalid Nordin.
“Ini cuma persepsi yang dimainkan oleh media, oleh orang ramai, sebenarnya tak ada UMNO baharu ke UMNO lama, yang ada hanya satu UMNO, satu Presiden, satu Timbalan, tiga Naib Presiden, Ketua Pemuda, Ketua Wanita dan 25 Majlis Tertinggi yang dipilih dan dilantik oleh Presiden.
“Tak timbul UMNO baharu, UMNO lama ni, dan perletakkan jawatan beliau setakat ini tak mendatangkan sebarang kesan kepada struktur UMNO dan sebagainya,” katanya.
Tengku Razaleigh meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO berkuatkuasa Isnin lepas setelah menyerahkan surat perletakkan jawatan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bertarikh 20 September. -PAHANGMEDIA