YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika berucap merasmikan Program Sambutan Hari Warga Emas Peringkat Negeri Pahang secara atas talian hari ini.

KERAJAAN PAHANG SENTIASA PRIHATIN KEBAJIKAN WARGA EMAS

Oleh : Fairus Mohd

KUANTAN, 15 SEPTEMBER 2021 : Kerajaan Negeri tidak pernah meminggirkan keperluan warga emas terutamanya mereka yang disenaraikan sebagai penerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia dizahirkan melalui Bantuan Prihatin Pahang (BPP) di mana pada tahun ini sahaja seramai 2,169 orang warga emas berusia 80 tahun ke atas telah menerima sumbangan one-off.

“Sumbangan bernilai RM250 bagi setiap penerima itu melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM542,250. Turut menerima sumbangan jumlah sama ialah 20,698 Orang Kurang Upaya (OKU).

“Selain itu, Kerajaan Negeri turut memberi sumbangan one-off sebanyak RM250 kepada peserta e-Kasih miskin tegar, kenaikan Kadar Bantuan Am JKM dari RM300 kepada RM350 sebulan mulai Januari 2021 serta peruntukan RM10,000 kepada setiap 52 buah PDK untuk memberi latihan dan pemulihan kepada OKU,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Sambutan Hari Warga Emas Peringkat Negeri Pahang secara atas talian hari ini.

Turut sama pada majlis berkenaan, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita Dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin, Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Warga Emas Negeri Pahang, YH Dato’ Mohd Zakaria Ibrahim serta Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pahang, YBhg Encik Zulkhairi Zainol Abidin.

Turut serta Pengerusi Yayasan Hawa, YH Dato’ Sri Maznah Mazlan, Pensyarah Jabatan Kejururawatan Medikal-Surgikal, Kuliyah Kejururawatan, Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr. Patimah Abd Wahab, Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Nasarudin Subhi dan Pengarah Bahagian Warga Emas, Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia, Puan Hezleen Hassan.

Sementara itu Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, Malaysia sedang menuju ke arah negara tua akibat penurunan kadar fertiliti serta peningkatan jangka hayat hidup penduduk.

“Hampir lapan peratus daripada jumlah penduduk Malaysia pada tahun 2010 terdiri daripada warga emas berusia 60 tahun ke atas dan angka ini akan meningkat dalam dekad-dekad yang mendatang.

“Mengikut unjuran penduduk 2010 hingga 2040 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, bilangan penduduk berusia 60 hingga 74 tahun dan ke atas yang berjumlah 1.8 juta orang pada tahun 2010 akan meningkat kepada 4.5 juta orang pada tahun 2040, iaitu peningkatan hampir 2.5 kali ganda, manakala warga emas berusia 75 tahun dan ke atas pula akan bertambah daripada 0.5 juta orang (2010) kepada 1.8 juta orang (2040), yakni peningkatan hampir empat kali ganda dalam tempoh yang sama,” katanya.

Dengan peningkatan ini katanya, Malaysia akan menjadi negara tua menjelang 2035 apabila 15 peratus daripada penduduk di negara ini berusia 60 tahun ke atas.

“Melalui perubahan sosioekonomi, sikap serta gaya hidup rakyat akan mempengaruhi permintaan terhadap kemudahan dan perkhidmatan pada masa akan datang.

“Oleh itu kita menjangkakan permintaan kemudahan dan perkhidmatan pelbagai kumpulan umur warga emas akan meningkat,” katanya.

Pada majlis sama beliau turut mengingatkan warga emas agar terus menjaga SOP bagi mengelak daripada terkenal jangkitan COVID-19.

“Trend melagakan penumbuk atau fist bump ketika berjumpa perlu dielakkan untuk mengurangkan risiko penularan COVID-19.

“Hanya letak tangan di dada tanda hormat sebagai ganti bersalaman kerana risiko jangkitan COVID-19 lebih tinggi apabila seseorang batuk, bersin atau bercakap dalam jarak dekat,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download