Oleh: Mahathir Ali
KUANTAN, 28 OGOS 2021: Sebanyak 261 kampung Orang Asli di seluruh negeri Pahang akan mendapat perkhidmatan internet jalur lebar yang lebih baik dan berkesan setanding kawasan bandar tidak lama lagi.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, pelaksanaan projek-projek ini dijangka bermula dalam masa terdekat dan siap sepenuhnya secara berperingkat pada penghujung tahun ini sehingga pertengahan tahun 2022 nanti.
“Pelaksanaan internet jalur lebar di Kampung Orang Asli melalui dua peringkat pelaksanaan iaitu menggunakan jalur lebar satelit dan pembinaan menara-menara baharu,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, untuk tujuan itu, pihaknya telah mengadakan Mesyuarat Penyelarasan Penambahbaikan Sistem Telekomunikasi Dan Internet Perkampungan Orang Asli Negeri Pahang telah diadakan semalam.
Turut hadir dalam mesyuarat berkenaan adalah Ketua Unit Hal Ehwal Orang Asli Pejabat Menteri Besar Pahang, YH. Dato’ Muhammad Olian Abdullah dan Pengarah Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia, Encik Mohd Faisal Md Nor.
“Untuk makluman sehingga kini sebanyak 116 kampung Orang Asli di Pahang telah mendapat perhatian melalui pelbagai projek yang telah dan akan dilaksanakan oleh MCMC dibawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA),” katanya.
Beliau berkata ini jelas membuktikan Kerajaan Pahang serius dan berusaha sebaik mungkin mempertingkatkan pencapaian internet di seluruh negeri Pahang termasuk di perkampungan Orang Asli.
“Terima kasih kepada JAKOA Pahang, YH. Dato’ Muhammad Olian, En. Mohd Faisal, Syarikat-syarikat Telco, Koridor Utiliti Pahang (KUP), Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Pahang (BPEN) dan anak-anak Orang Asli kakitangan SUK Pahang yang terlibat mesyuarat penyelarasan ini,” katanya.

Sementara itu, seorang masyarakat Orang Asli dari Kampung Permatang Siput, Pekan, Cik Noranidun Midun, 28, berkata, beliau mendapat maklumat bahawa terdapat pembinaan satu menara di kampungnya.
“Apabila siap menara itu nanti, akan lebih memudahkan penduduk untuk melakukan urusan harian termasuk membeli barang online, belajar dalam talian dan masalah komunikasi dapat diatasi,” katanya.

Sementara itu, bagi Encik Adam Zaidi Mahidin, 36, dari Kampung Orasng Asli Batu 8, Rompin berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Pahang kerana telah mampu menyediakan fasiliti internet yang lengkap di perkampungan Orang Asli.
“Saya bersama masyarakat kampung dan juga Orang Asli sangat bersyukur kepada Kerajaan Negeri dan YAB Menteri Besar dengan pembinaan menara baharu ini,” katanya. – PAHANGMEDIA