Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika menyampaikan hadiah pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Pidato Online Anjuran Penerangan UMNO Negeri Pahang di Dewan Kediaman Rasmi YAB Menteri Besar Pahang di Teluk Sisek hari ini

UMNO PAHANG TELAH BERSIAP SEDIA HADAPI PRU-15

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 27 OGOS 2021 : UMNO Pahang telah bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang akan datang dengan menyalurkan maklumat berkaitan kepada orang ramai.

Ketua Penerangan UMNO Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, ini antara tujuan UMNO mengadakan pertandingan pidato Penerangan UMNO Malaysia (PUMAS).

Ketua Penerangan UMNO Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad

“Jadi kita sekarang melalui Ketua Penerangan Bahagian Daerah telah mengenalpasti pemidato-pemidato yang boleh membawa suara parti.

“Kita telah mengatur penceramah-penceramah, pemidato-pemidato di seluruh bahagian seramai 27 orang ini bagi tujuan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Pidato Online Anjuran Penerangan UMNO Negeri Pahang di Dewan Kediaman Rasmi YAB Menteri Besar Pahang di Teluk Sisek hari ini.

Turut hadir menyampaikan hadiah kepada para pemenang dan peserta, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; Setiausahanya, YH. Dato’ Sri Ab. Hamid Nazahar; dan Timbalan Ketua Bahagian Paya Besar, YB. Dato’ Abd Rahim Muda.

Menurut pemenang pertandingan pidato, Encik Muhammad Amirull Afiqq Mohamad Lokman dari Indera Mahkota berkata pertandingan ini adalah satu cabaran bagi dirinya kerana tempoh masanya yang agak lama.

“Ini adalah satu cabaran buat saya kerana masa yang diperuntukkan adalah selama 20 minit dan ini adalah sangat lama dan perlukan penyediaan bahan yang banyak.

“Saya sebenarnya boleh dikatakan sebagai bidan terjun sahaja kerana tiada penyertaan daripada kawasan saya, jadi saya hanya ada masa tiga hari sahaja untuk bersedia, dan tidak sangka dapat menjadi pemenang,” katanya yang bekerja sebagai peguam.

Encik Fadzli Mohamad Kamal

Sementara itu, menurut ketua juri bagi pertandingan ini, Encik Fadzli Mohamad Kamal berkata pertandingan yang dijalankan selama tiga hari ini adalah berlainan dari segi masa.

“Kebiasaannya pidato hanya mengambil masa selama 10 minit dan tambahan 5 minit bagi impromptu, tapi kali ini ia adalah 20 minit tapi kita teruja sebab ramai peserta muda yang bertanding dan menunjukkan bakat besar,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download