Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman

SIDANG DEWAN NEGERI: KADAR VAKSINASI DI PAHANG BERGANTUNG KEPADA BEKALAN SEMASA

Oleh: Fairus Mohd
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 25 OGOS 2021 : Kadar vaksinasi di Pahang memperlihatkan trend yang agak perlahan namun tidak berada di tangga terbawah dalam pemberian vaksin terendah dalam negara.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman berkata, Kerajaan Negeri memandang serius isu vaksinasi namun memahami dasar Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 yang mendahulukan negeri-negeri berkepadatan tinggi khususnya di Lembah Klang.

“Menjelang bulan Oktober depan, sekiranya vaksin yang dijanjikan sampai maka kita tiada masalah untuk menjalankan proses vaksinasi di 171 buah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di negeri ini.

“Pengumuman YAB Perdana Menteri baru-baru ini yang menyatakan pembelian sebanyak enam juta dos vaksin pada dua minggu lalu adalah satu perkhabaran gembira untuk meyakinkan bahawa kita bakal mampu mewujudkan herd immunity dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan berkenaan status terkini COVID-19 di Negeri Pahang sehingga 23 Ogos 2021 di mana jumlah keseluruhan kes psoitif adalah sebanyak 38,786 kes dengan kadar insiden adalah 2,159 per 100,000 penduduk.

“Kes aktif dengan kebolehjangkitan dalam tempoh 14 hari adalah sebanyak 9,272 kes (24.3 peratus), manakala total kes sembuh adalah sebanyak 29,100 (75 peratus) serta terdapat 414 (1.07 peratus) kematian akibat COVID-19 dilaporkan di negeri Pahang.

“Berkenaan vaksin, sehingga 22 Ogos 2021 sebanyak 1,311,845 juta dos telah diterima dan agihan seterusnya yang bakal diterima adalah sebanyak 150,980 dos bagi minggu keempat Ogos, 660,000 dos pada September dan 582,087 dos pada bulan Oktober,” katanya.

Katanya lagi, Pahang telah memenuhi indikator untuk beralih ke Fasa 3 di dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) di mana data menunjukkan 40 peratus iaitu kira-kira 480,000 penduduk dewasa sudah lengkap dua dos vaksin.

“Kerajaan Negeri melalui jabatan dan agensi berkaitan seperti Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang (melalui Unit Antarabangsa) telah melakukan pemantauan ke atas aktiviti ekonomi dan juga kawasan-kawasan perindustrian di negeri ini bagi memastikan setiap pekilang mematuhi SOP bagi mengelak penularan COVID-19 yang boleh mencetuskan kluster-kluster baharu,” katanya.

Dalam pada itu, YB. Dato’ Sri Norolazali berkata pembinaan infrastruktur seperti ECRL dan CSR dapat meningkatkan akses kepada rakyat dan pembangunan infrastruktur ini amat penting dalam memacu pembangunan dan ekonomi dalam negeri.

“Namun begitu, aspek penjagaan alam sekitar semasa pelaksanaan projek pembangunan sentiasa diberi perhatian serius Kerajaan Negeri yang melakukan pemantauan berkala melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi memastikan pemaju projek mematuhi Enviroment Impact Assessment (EIA) dan ambil kira aspek Environmental, Social, Governance (ESG).

“Bagi kepentingan pada masa akan datang dalam mengamalkan prinsip ESG di dalam pelaksanaan pembangunan di negeri ini, Kerajaan Negeri melalui jabatan dan agensi berkaitan seperti Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Alam Sekitar akan sentiasa mencari kaedah alternatif yang lebih moden dalam memastikan kelestarian alam sekitar, flora dan fauna terus terpelihara,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download