Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 24 OGOS 2021 : Kerajaan Pahang tidak mempunyai kuasa untuk melonggarkan apa-apa arahan yang telah dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) namun boleh memperketatkan lagi arahan tersebut.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkara ini tertakluk akta yang telah ditetapkan oleh Kerajaan.
“Apa yang dikeluarkan oleh MKN, Kerajaan Negeri kena patuh. Itu adalah akta yang telah ditetapkan. Apa yang Kerajaan Negeri boleh buat adalah kita boleh perketatkan lagi tetapi tidak boleh melonggarkan apa yang telah ditetapkan oleh MKN. Itu dia punya prinsip.
“Contohnya, katalah MKN menghadkan kedai buka dari 8 pagi sampai 8 malam, Kerajaan Negeri tak boleh buka dari 8 pagi hingga 6 petang. Tak boleh. Tetapi kalau Kerajaan Negeri nak buat 8 pagi hingga 12 malam, boleh. Itu dia punya prinsip. Sebab itu bila hal keselamatan ini dia di bawah federal,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Triang, YB. Cik Leong Yu Man.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan berkenaan kekeliruan rakyat mengenai sumber rujukan yang diguna pakai bagi prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 di negeri ini semasa sesi perbahasan pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Sidang Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Beliau meminta semua pihak memahami bahawa Kerajaan Negeri tidak boleh sewenang-wenangnya mengubah peraturan yang ditetapkan oleh pihak MKN.
“Jadi ini ahli Yang Berhormat kena faham, bukan kita tak nak ikut. Kalau boleh kita tak nak ikut apa yang ditetapkan oleh MKN sebab ada yang kita rasakan apa yang mereka laksanakan memberi tekanan kepada kita.
“Tetapi telah termaktub di dalam akta macam itu, yang Kerajaan Pusat bertanggungjawab sebab ini soal keselamatan. Jadi dalam kes COVID-19 ini kita boleh ketatkan lagi tetapi kita tidak boleh longgarkan apa yang diputuskan oleh MKN,” katanya.
Beliau turut meminta ahli-ahli Dewan Negeri supaya menjelaskan hal ini kepada rakyat supaya tidak timbul lagi sebarang kekeliruan berkaitan hal ini. -PAHANGMEDIA