Oleh : Fansurina Abdullah
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 24 OGOS 2021 : Kerajaan mengambil langkah agresif dengan membekukan pengeluaran lesen vesel dan peralatan khususnya bagi perikanan pantai (kurang 30 batu nautika) yang telah mencapai tahap eksploitasi optimum.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir. Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak berkata, ini adalah usaha untuk melindungi sumber perikanan yang semakin merosot.
“Kemerosotan stok sumber perikanan terutamanya ikan jenis dasar laut (demersal) adalah berpunca daripada aktiviti penangkapan ikan secara berlebihan, menggunakan peralatan destruktif, pencerobohan kawasan oleh nelayan tempatan dan asing, kerosakan habitat tempat perlindungan dan pembiakan ikan, pembangunan tidak lestari atau tidak mesra alam dan sebagainya lagi.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah, YB. Tuan Haji Andansura Rabu pada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Katanya, jika penangkapan ikan melebihi keupayaan maka ianya akan menjejaskan sumber perikanan dan mengancam usaha menjamin bekalan makanan daripada sumber perikanan laut.
Justeru, Jabatan Perikanan Negeri Pahang hanya memberi kelulusan memperbaharui lesen-lesen yang sedia ada atau meluluskan pindah milik kepada nelayan tulen yang layak sahaja. – PAHANGMEDIA