YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika Program Lawatan Pusat Komuniti Benteras COVID-19 di Sungai Isap, hari ini.

PASUKAN KOMUNITI PRIHATIN INISIATIF BAHARU PASTIKAN PENDUDUK PATUH SOP

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd. Rahim

KUANTAN, 23 OGOS 2021 : Penubuhan Pasukan Komuniti Prihatin (PKP) oleh penduduk Sungai Isap disifatkan satu inisiatif baharu bagi memastikan penduduk setempat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, usaha ini adalah satu cara penduduk menjaga kawasan mereka daripada penularan pendemik COVID-19.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika Program Lawatan Pusat Komuniti Benteras COVID-19 di Sungai Isap, hari ini.

“Ini adalah satu perkara yang amat baik dan harus diterapkan nilai budaya seperti ini kerana ada masanya saya rasa jangan bergantung sangat dengan Kerajaan lebih-lebih lagi dengan Kerajaan Negeri kerana Kerajaan pun sekarang tak menang tangan.

“Jadi cara yang paling baik, kita sendiri (buat pemerkasaan). Kita buat apa yang patut kita buat, dan kita bagi kerjasama dan akhirnya berjaya,” katanya ketika berucap pada Program Lawatan Pusat Komuniti Benteras COVID-19 di Sungai Isap, di sini hari ini.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Teknologi Hijau, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd. Ariff; Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin dan Pegawai Daerah Kuantan, YM Tengku Dato’ Nor Asmaliza Ku Lah.

Beliau berkata, program PKP yang dijalankan oleh penduduk Sungai Isap ini merupakan model pertama seumpamanya di negeri ini dan di Malaysia.

“Model PKP oleh komuniti ini dimana kita serahkan kepada komuniti itu sendiri untuk mengawal penduduk setempat dengan dibantu oleh penguatkuasa.

“Mereka mengawal penduduk yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), dan mereka yang dikenakan Perintah Kuarantin di Rumah (HSO) untuk mematuhi arahan dan menyalurkan bantuan barangan makanan kepada mereka terlibat,” katanya.

Beliau turut bercadang untuk melaksanakan program ini di kawasan lain bagi memastikan penularan pandemik di negeri ini dapat dikawal.

“Ini boleh diikuti dengan beberapa tempat lain seperti Pak Mahat dan lain-lain. Saya percaya YB Setiausaha Kerajaan Negeri, ini boleh kita lebarkan, panjangkan ke tempat-tempat lain,” katanya.

Beliau dalam program yang sama turut menyampaikan 150 bakul makanan kepada pemimpin setempat. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download