Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd. Rahim
KUANTAN, 14 OGOS 2021 : Kerajaan Pahang menyumbang sebanyak RM86,200 kepada 862 pemandu e-hailing berdaftar di daerah ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda berkata, ini bertujuan mengurangkan sedikit bebanan yang ditanggung para pemandu berkenaan.
“Ini adalah fasa kedua bagi pemandu-pemandu e-hailing yang melibatkan pemandu Grab, Maxim, dan juga TeksiKu.
“InsyaAllah dengan sumbangan ini dapat meringankan beban dan kita berharap mereka akan terus menyediakan perkhidmatan pengangkutan ini kepada masyarakat walaupun dalam keadaan sekarang COVID-19 yang agak semakin meningkat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas Majlis Pengagihan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) COVID-19 Tahun 2021 Fasa 2 kepada 430 pemandu e-hailing di pekarangan Kompleks Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) secara pandu lalu di sini.

Turut hadir, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), YH. Dato’ Hamdan Hussin; dan Pegawai Daerah Kuantan, YM Tengku Dato’ Nor Asmaliza Ku Lah.
Beliau turut meminta para pemandu dan penumpang perkhidmatan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika memandu.
Sementara itu, salah seorang penerima, Encik Alman Yusriman Abu Bakar, 44, berkata dia bersyukur dengan bantuan yang diberikan Kerajaan Pahang ini.
“Bantuan ini dapat saya guna untuk beli barangan keperluan asas sedikit dalam musim pandemik ini,” katanya yang telah menjadi pemandu Grab sejak empat tahun lepas.
Menurut Encik Abdul Hakim Latif , 44, pula bantuan yang diberikan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban perbelanjaan buat masa ini.
“Terima kasih Kerajaan Negeri beri bantuan ini kepada kami pemandu e-hailing. Sedikit sebanyak dapat bantu untuk beli barang dapur terutamanya,” katanya yang merupakan pemandu Grab sejak tiga tahun lepas.
Bantuan kepada pemandu e-hailing ini merupakan bantuan fasa kedua selepas Kerajaan Negeri memberikan bantuan serupa kepada kira-kira 800 pemandu teksi pada 1 Jun lepas. -PAHANGMEDIA