Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 22 JULAI 2021 : Sebanyak 37 kompaun berjumlah RM55,500 dikeluarkan oleh pihak polis kepada individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh empat hari bermula 18 Julai lepas sehingga semalam di negeri ini.
Ketua Polis Pahang, YDH CP Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, ini melibatkan 6,338 pemeriksaan di pelbagai lokasi oleh pasukan pemantau Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Pahang bersama pasukan sahabat dalam tempoh berkenaan.

“37 kesalahan kompaun yang dikeluarkan pihak polis melibatkan tiada penjarakan fizikal (11), tidak memakai pelitup muka (9), membawa penumpang berlebihan (6), gagal merekod butiran pelanggan (4), keluar tanpa alasan munasabah (4), dan rentas negeri/daerah tanpa kebenaran (3) dengan nilai kompaun keseluruhan sebanyak RM 55,500.
“Manakala dua lagi kompaun melibatkan premis telah dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bernilai RM20,000,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) hari ini.
Beliau berkata pemeriksaan dijalankan melibatkan pelbagai lokasi termasuklah kenderaan selain memfokuskan pemeriksaan dikawasan penyembelihan sempena Hari Raya Aidiladha.
Menurut beliau pihaknya juga telah menerima sebanyak 6,835 permohonan untuk merentas daerah dan negeri dalam tempoh empat hari ini.
“Bagi tempoh 18 Julai sehingga 21 Julai, kita telah menerima jumlah permohonan rentas negeri dan daerah bagi negeri Pahang sebanyak 7,224 permohonan keseluruhannya.
“Daripada jumlah tersebut, 6,835 permohonan telah diluluskan manakala bakinya sebanyak 389 permohonan lagi telah ditolak.
“Alasan yang paling banyak diberikan bagi permohonan rentas daerah dan negeri ini adalah untuk bekerja dan juga alasan kecemasan seperti berlaku kematian atau sakit,” katanya. -PAHANGMEDIA