28 POLIS PAHANG DIKESAN POSITIF COVID-19, 186 LAGI DIKUARANTIN

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 22 JULAI 2021 : Seramai 28 anggota polis dikesan positif COVID-19 di seluruh negeri ini manakala 186 anggota lagi sedang menjalani tempoh kuarantin.

Ketua Polis Pahang, YDH CP Datuk Ramli Mohamed Yoosuf ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) berkata namun demikian ia tidak menjejaskan pelaksanaan penugasan pihak polis.

Ketua Polis Pahang, YDH CP Datuk Ramli Mohamed Yoosuf

“Penugasan secara keseluruhan masih dapat dilaksanakan dengan bantuan daripada agensi-agensi lain.

“Bagi daerah-daerah yang terjejas dari segi penugasan sumber manusia diperoleh daripada pasukan Pasukan Gerakan Am (PGA) dan sumber manusia di peringkat kontinjen,” katanya.

Beliau berkata antara punca berlakunya jangkitan dalam kalangan anggota adalah disebabkan beberapa faktor termasuklah penularan dalam kalangan keluarga.

“Antara sebab yang dikesan adalah berpunca daripada tangkapan Orang Kena Tahan (OKT), dan juga ada akibat daripada menziarahi kematian.

“Selain itu, punca lain adalah berkaitan kontak rapat dengan orang yang berada dalam kawasan zon merah atau dari rakan yang bergejala serta bermula daripada pusat asuhan kanak-kanak atau rumah pengasuh,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya mengambil langkah yang ketat bagi memastikan tidak berlaku jangkitan kepada para petugas semasa sedang bertugas.

“Kita menyediakan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat semasa penugasan dijalankan iaitu dengan penyediaan hand sanitizer dan face mask atau face shield ketika bertugas terutamanya di kawasan berisiko tinggi.

“Kita juga memastikan mereka mengamalkan pemakaian double mask, jaga jarak ketika berhubung antara satu sama lain, sentiasa mengamalkan kebersihan diri, sentiasa update MySejahtera dan membuat pemeriksaan suhu badan, serta memastikan semua petugas frontliner mendapat suntikan vaksinasi COVID-19.

“Dan bagi petugas di sekatan jalan raya (SJR) mereka diminta memakai sarung tangan untuk menyemak dokumen dan menjaga jarak semasa pemeriksaan dijalankan,” katanya.

Beliau berkata, kesemua anggota polis yang dirawat akibat positif COVID-19 atau yang sedang menjalani tempoh kuarantin menerima bantuan bagi meringankan beban mereka.

“Sumbangan akan diberikan jika pesakit positif COVID-19 dan dirawat di hospital atau pusat kuarantin.Dan pada peringkat awal permulaan pendemik ini, kami ada menerima sumbangan daripada pihak NGO melalui Cawangan Kebajikan Bukit Aman sebanyak RM200.

“Kami juga menerima sumbangan daripada Kerajaan Pahang yang diberikan kepada semua yang dikuarantin berupa makanan keperluan harian dan wang tunai,” katanya.

Bermula 18 Mac 2020 sehingga semalam, sebanyak 120 anggota polis telah dikesan positif COVID-19 diseluruh negeri ini dengan 1,261 individu dikuarantin dalam tempoh yang sama. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download