Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 22 JULAI 2021 : Pahang masih kekal dengan 12 sampel dikesan berkaitan jangkitan daripada varian baharu yang membimbangkan (VOC) setakat ini.
Pengarah Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), YH. Dato’ Dr. Haji Bahari Dato’ Tok Muda Che Haji Awang Ngah ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) berkata ini berikutan keputusan bagi sampel lain masih belum dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Sehingga 14 Julai 2021, berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengarah Kesihatan Malaysia, terdapat 12 sampel dikesan dengan VOC di negeri Pahang.
“Kita telah menghantar sampel daripada kesemua kluster yabg direkodkan di Pahang d untuk kajian jujukan genom bagi mengetahui sama ada ia berkaitan dengan VOC atau tidak,” katanya.
Beliau berkata tiada pengesanan terbaharu jangkitan daripada mana-mana varian setakat ini kerana keputusan bagi setiap kajian yang dijalankan mengambil tempoh yang lama.
“Setakat ini keputusan bagi sampel lain masih belum dikeluarkan kerana keputusan bagi genome mengambil masa satu bulan sebelum kita dapat update keputusannya.
“Proses kajian yang dilakukan untuk menentukan jujukan genomik ini turut mengambil masa serta kos yang tinggi,” katanya.
Pahang sebelum ini melaporkan telah mengesan 10 kes disahkan positif COVID-19 daripada jangkitan varian baharu yang membimbangkan (VOC) iaitu varian Delta B.1.617 dan dua sampel lagi daripada varian Beta B.1.351. -PAHANGMEDIA