Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 17 JULAI 2021 : Kerajaan Pahang telah memutuskan kebenaran terhadap perlaksanaan solat sunat Aidiladha di institusi masjid dan surau dengan pemantauan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, kerajaan dengan kerjasama beberapa agensi penguatkuasa terlibat akan membuat pemantauan di lokasi-lokasi terlibat dengan ibadah sunat hari raya Aidiladha dan juga ibadah korban.
“Pihak kerajaan juga akan membantu supaya perkara ini dapat dilaksanakan dengan menghantar pegawai-pegawai dan penguatkuasa-penguatkuasa supaya kita sama-sama dapat memastikan SOP terjaga dan terpelihara dengan baik tetapi apa gunanya pegawai-pegawai dan penguatkuasa ini kalau kita tidak dapat bersama memastikan perkara ini dapat disekat dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) ketika ditemui di pejabatnya, di Wisma Sri Pahang, di sini, baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau turut meminta orang ramai khususnya umat Islam yang akan meraikan sambutan perayaan Aidiladha beberapa hari sahaja lagi supaya dapat mematuhi SOP dan arahan daripada pihak kerajaan dari semasa ke semasa memandangkan kes semakin bertambah menjelang tiba perayaan itu.
Beliau berkata, mana-mana masjid atau surau yang dibenarkan menunaikan solat Jumaat adalah dibenarkan mengadakan solat sunat Aidiladha dengan kapasiti sama seperti solat Jumaat tetapi sekiranya pihak masjid atau surau mempunyai keupayaan kawalan boleh mengemukakan permohonan kepada Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) untuk menambah jumlah bilangan jemaah bagi menunaikan solat sunat Aidiladha nanti.
Beliau turut menekankan aspek-aspek penjagaan SOP di kalangan jemaah yang hadir ke masjid supaya sentiasa memastikan penjarakan fizikal terjaga, masjid dan surau juga perlu memastikan supaya tidak berlaku kesesakan di rumah ibadah selain jemaah perlu mengambil wudhuk dari rumah.
Jemaah juga perlu membawa tikar sembahyang atau sejadah sendiri selain mengamalkan pemakaian pelitup muka dan menggunakan cecair pembasmi kuman atau cecair sanitasi tangan serta mengimbas kod menggunakan MySejahtera serta memeriksa suhu badan.
Jelasnya, umat perlu bersyukur kerana diberi kelonggaran untuk menunaikan ibadah sunat ini meskipun dengan kawalan SOP yang ketat dan berharap semua jemaah dan pihak terlibat mematuhi arahan bagi menghentikan penularan wabak pandemik ini. – PAHANGMEDIA