YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob (kiri) bersama YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail (kanan) ketika melakukan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di Kuantan hari ini.

RENTAS NEGERI, DAERAH SEMPENA AIDILADHA MASIH TIDAK DIBENARKAN

Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 16 JULAI 2021 : Pergerakan pulang ke kampung sempena Hari Raya Aidiladha pada 20 Julai ini masih tidak dibenarkan berikutan larangan rentas negeri dan daerah yang masih berkuatkuasa.

YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini berikutan semua negeri kini berada dalam Fasa Satu dan Fasa Dua Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob bersama YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika melakukan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di Kuantan hari ini.

“Saya nak beritahu yang rentas daerah, rentas negeri, di mana-mana fasa pun belum dibenarkan. fasa satu memang tak boleh. fasa dua pun masih tidak boleh.

“Jadi seluruh Malaysia sekarang dalam dua fasa iaitu dalam fasa satu di beberapa buah negeri dan yang berpindah ke fasa dua pun lebih kurang lapan buah negeri. Jadi fasa satu atau fasa dua masih belum boleh rentas daerah ataupun negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini, hari ini.

YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob

Turut hadir, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar 1, yang juga Ahli Parlimen Lipis, YB. Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda.

Beliau turut meminta orang ramai mengambil iktibar daripada kes yang berlaku selepas Hari Raya Aidilfitri lepas yang menyebabkan wujudnya kluster rentas negeri.

“Saya harap semua kita mengambil iktibar daripada kes yang berlaku selepas Hari Raya Aidilfitri dulu. Walaupun ketika itu, dari segi SOP masih belum dibenarkan rentas daerah, rentas negeri, tetapi ramai yang curi-curi balik. Ramai yang ikut lorong tikus, dan sebagainya.

“Kalau kita lihat kes rentas negeri ini, kluster rentas negeri ini memuncak selepas itu (sambutan Hari Raya Aidilfitri). Kes di Terengganu misalnya, seluruh keluarga dijangkiti dan ada yang meninggal. Begitu juga di Kelantan pun, ada kes yang sama.

“Jadi saya harap itu jadi iktibar kepada kita, walaupun kita pandai nak lari daripada sekatan polis, balik ke kampung, saya dah katakan, kita boleh lepas daripada polis tetapi kita mungkin tak lepas daripada jangkitan COVID-19,” katanya.

Beliau berkata kebenaran untuk merentas daerah dan negeri akan diberikan setelah memperolehi imuniti kelompok dan semua negeri berada dalam Fasa Tiga dan Fasa Empat PPN.

“Kalau vaksin ini telah pun dapat kita berikan kepada rakyat kita, bila imuniti berkelompok sudah pun diperolehi, Fasa Ketiga atau Fasa Keempat, rentas daerah dan rentas negeri akan dibenarkan.

“Jadi tunggulah fasa-fasa yang akan datang ini. Fasa Tiga boleh rentas daerah, Fasa Empat boleh rentas negeri dah. Jadi sabarlah sedikit,” katanya.

Beliau juga meminta orang ramai supaya membuat kawalan kendiri dan menjaga diri bagi memastikan selamat dari dijangkiti wabak COVID-19 ini. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download