Dari kiri: Ahli Dewan Negeri (ADN) Muadzam Shah, YB. Ir Razali Kassim; Pegawai Daerah Rompin, Tuan Ahmad Nasim Dato' Haji Mohd Sidek dan ADN Bukit Ibam, YB. Datin Hajah Samsiah Haji Arshad meninjau kolam rawatan sisa sawit ketika mengadakan tinjauan dan taklimat berkenaan pencemaran Sungai Pukin, Ulu Keratong, Rompin hari ini.

TEBING KOLAM RAWATAN SISA SAWIT PECAH PUNCA PENCEMARAN SUNGAI PUKIN

Oleh : Fairus Mohd

ROMPIN, 9 JULAI 2021 : Keadaan tebing salah satu daripada lapan buah kolam rawatan sisa sawit milik sebuah kilang di sini yang runtuh pada Selasa lalu menyebabkan pencemaran berlaku di Sungai Pukin, Ulu Keratong.

Pencemaran berkenaan turut menyebabkan lebih 11,000 akaun pengguna air di sekitar kawasan berkenaan terjejas.

Pegawai Daerah Rompin, Tuan Ahmad Nasim Dato’ Haji Mohd Sidek berkata, kes berkenaan mula dikesan selepas menerima aduan penduduk berhampiran yang melihat air sungai menjadi warna hitam.

Pegawai Daerah Rompin, Tuan Ahmad Nasim Dato’ Haji Mohd Sidek.

“Pihak Jabatan Alam Sekitar telah membuat pemantauan pada hari yang sama sebelum mengarahkan kilang berkenaan menghentikan operasi serta merta.

“Kerja-kerja baikpulih, menambak semula tebing yang runtuh serta pembersihan alur sungai telah dilakukan serta merta bagi mengelak sisa terus mengalir,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) di sini, hari ini.

Beliau hadir menerima taklimat daripada pihak Jabatan Alam Sekitar dan pengurus kilang terlibat serta melakukan pemantauan di sungai berkenaan.

Turut sama, Ahli Dewan Negeri (ADN) Muadzam Shah, YB. Ir Razali Kassim; ADN Bukit Ibam,YB. Datin Hajah Samsiah Haji Arshad serta Ketua Cawangan JAS Rompin, Mohd Jamali Abd Majid.

Sementara itu, beliau berkata Kerajaan Pahang memandang serius isu melibatkan alam sekitar terutamanya kelestarian sungai.

Satu daripada lapan kolam rawatan sisa sawit sebuah kilang di mana tebingnya runtuh sehingga menyebabkan pencemaran di Sungai Pukin, Ulu Keratong, Rompin.

“Kita akan mengenakan denda semaksimum mungkin (kepada kilang terlibat) selain mengadakan perbincangan dengan semua kilang-kilang (ada 23 buah kilang) di sepanjang sungai ini untuk pastikan kejadian seperti ini tidak berulang.

“Kita juga difahamkan kilang-kilang di sini telah berusia lebih 30 tahun dan mungkin ada kekurangan di situ yang kita boleh kaji.. sama ada kita boleh bantu kukuhkan, kita kukuhkan bagi elak perkara sama berulang,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, tindakan seterusnya serta jumlah kompaun yang bakal dikenakan kepada kilang tersebut masih dalam siasatan.

Beliau turut meminta semua penduduk yang terlibat bersabar dengan situasi semasa dan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) sedang membekalkan air bersih kepada mereka sementara masalah berkenaan selesai sepenuhnya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download