Seorang pengunjung membeli makanan di kenderaan saji atau 'food truck' di Indera Mahkota di sini semalam.

PENIAGA ‘FOOD TRUCK’ BERTERIMA KASIH KEPRIHATINAN KERAJAAN PAHANG BENAR BERNIAGA

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 07 JULAI 2021: Peniaga kenderaan saji atau ‘food truck’ di sekitar daerah ini mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan Kerajaan Pahang membenarkan mereka berniaga dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKDP) di daerah ini.

Pengerusi Persatuan Usahawan Beroda Negeri Pahang, Encik Muhammad Aiman Abdul Razak berkata, kebenaran berniaga yang diberikan Kerajaan Pahang adalah bukti keluhan kira-kira 40 peniaga ini didengari dan diambil peduli.

Pengerusi Persatuan Usahawan Beroda Negeri Pahang, Encik Muhammad Aiman Abdul Razak

“Kerajaan Negeri sangat mengambil berat berkenaan penjaja-penjaja kecil termasuk juga kami para peniaga trak makanan walaupun pada peringkat awal kami (peniaga trak makanan) tidak dibenarkan berniaga.

“Kami menghantar surat, meminta kebenaran, untuk berniaga dan Alhamdulillah mereka (pihak Kerajaan Pahang) mendengar kegusaran kami.

“Jadi Alhamdulillah mereka benarkan kami (berniaga) tapi dengan syarat yang ketat untuk pematuhan prosedur operasi standard (SOP),” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Tapak ‘food truck’ di Indera Mahkota 3 yang mula beroperasi mengikut SOP yang ditetapkan.

Beliau berkata, peniaga ‘food truck’ akhirnya dapat menarik nafas lega setelah diberikan kebenaran berniaga kerana kebanyakan mereka hilang punca pendapatan semasa tidak dibenarkan berniaga.

“Hari pertama kami dapat kebenaran berniaga, semua ahli memang excited lah. Sangat seronok, rasa macam keluhan kami didengari. Dan Alhamdulillah hari ini (semalam) semua boleh beroperasi dan boleh menjana pendapatan.

“Punca pendapatan ahli memang daripada jualan ‘food truck’. Bila tak dibenarkan berniaga, ramai yang tak mampu bayar balik bayaran bulanan ‘food truck’ dan hilang punca pendapatan serta memberi tekanan kepada banyak keluarga.

“Saya berharap kebenaran berniaga ini dapat diteruskan pada masa akan datang dan perkara seperti ini (tidak dibenarkan berniaga) tidak terjadi lagi,” katanya.

Tapak ‘food truck’ di Indera Mahkota 3 yang mula beroperasi mengikut SOP yang ditetapkan.

Beliau berkata, sepanjang tempoh tidak dibenarkan berniaga, peniaga ‘food truck’ ada mendapat bantuan daripada Kerajaan Negeri selain menjalankan perniagaan secara ‘cash on delivery’ (COD) atau bayar selepas terima.

“Kebanyakan mereka ada menjalankan perniagaan secara COD tetapi ia agak membebankan mereka kerana tak mampu untuk menampung kos harian perniagaan.

“Sebelum ini, kami ada dapat bantuan daripada Kerajaan Negeri sebanyak dua kali, di mana setiap ahli mendapat bantuan berupa bekalan makanan, keperluan harian dan wang ringgit.

“Bantuan diberikan ini dapat menampung semasa tidak dibenarkan berniaga walaupun tidak sepenuhnya tapi sedikit sebanyak bantuan yang kami terima Alhamdulillah dapat membantu ramai juga keluarga dalam kalangan ahli kami,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download