Empat buah persatuan pelancongan NGO menerima bantuan sebanyak RM20,000 bagi setiap Persatuan dan ia diharap dapat membantu semua ahli yang merupakan pengusaha-pengusaha hotel, agensi pelancongan dan pemilik homestay.

BANTUAN KERAJAAN NEGERI RINGANKAN ‘DERITA’ NGO PELANCONGAN

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

TEMERLOH, 07 JULAI 2021: Situasi semasa pandemik COVID-19 yang melanda masih belum menunjukkan sebarang tanda akan berakhir dan ia semakin menghimpit pemain industri pelancongan.

Namun begitu, keprihatinan Kerajaan Pahang menyalurkan lebih setengah juta ringgit untuk mereka termasuk persatuan pelancongan (NGO) yang turut terkesan sepanjang penularan pandemik amat dihargai.

Terkini, empat buah persatuan pelancongan NGO menerima bantuan sebanyak RM20,000 bagi setiap Persatuan dan ia diharap dapat membantu semua ahli yang merupakan pengusaha-pengusaha hotel, agensi pelancongan dan pemilik homestay.

Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia Pahang (MAH), Encik Patrick Tee.

Persatuan yang terlibat ialah Persatuan Hotel Malaysia Pahang (MAH), Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia Pahang (MYBHA) dan Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia Pahang (MATTA).

Turut menerima bantuan ialah Persatuan Homestay Negeri Pahang yang sebelum ini aktif mempromosikan pelancongan inap desa serta produk-produk tempatan.

Bagi Pengerusi Persatuan Homestay Negeri Pahang, Tuan Haji Mohd Razaki Abdul Razak, bantuan berkenaan diterima dengan penuh rasa syukur.

“Saya nak ucapkan berbanyak terima kasih khususnya kepada YAB Menteri Besar Pahang di atas bantuan ini.

“Ia membolehkan Persatuan kami mengaktifkan kembali aktiviti-aktiviti promosi untuk merancakkan kembali industri pelancongan,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) di sini.

Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia Pahang (MAH), Encik Patrick Tee menyampaikan rasa penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pahang kerana peka dengan nasib yang menimpa mereka.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang yang menyerahkan bantuan melalui Exco Dato’ Sri Sharkar kepada kami.

“Sumbangan ini akan kami bincang dan kemungkinan besar akan salurkan kepada staf industri hotel yang terkesan akibat COVID-19,” katanya.

Sementara itu, Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia Pahang (MYBHA), Encik Pajan Sing a/l Kirpal Singh berkata dia sangat gembira dengan bantuan yang diterima.

“Kerajaan Negeri Pahang melalui Dato’ Sri Sharkar dan Tourism Pahang sentiasa mencari jalan untuk membantu walau keadaan (industri pelancongan) sekarang sangat teruk akibat kesan COVID-19.

“Kami sememangnya memerlukan lebih bantuan iaitu vaksin untuk pemain industri pelancongan bagi mewujudkan herd immunity (imuniti kelompok) sekaligus menjadikan sektor ini selamat dan dapat dibuka dengan segera.

” Kita juga faham Kerajaan Negeri sudah berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan rakyat di negeri ini menerima vaksin seterusnya mampu menjalani kehidupan dengan normal seperti dahulu,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download