Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 03 JULAI 2021 : Kapasiti bagi kesemua empat Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di negeri ini hanya berbaki 35 peratus sahaja lagi bagi menampung pesakit baharu.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata sebanyak 1,504 tempat telah diisi di PKRC yang ada daripada 2,301 tempat yang disediakan.

“Di PKRC Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKMM), Kuantan hanya berbaki satu tempat dengan 323 daripada 324 tempat telah diisi.
“Bagi PKRC di Institut Latihan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (i-KPKT) di Bentong juga berbaki satu tempat kosong daripada 347 tempat.
“Di Kompleks Sukan Pahang (SUKPA), masih berbaki 39 peratus kapasiti yang kosong iaitu 98 tempat lagi daripada 250 tempat yang disediakan,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP).
Beliau berkata hanya PKRC di Gambang yang masih berada pada tahap melebihi 50 peratus kekosongan setakat hari ini.
“Di PKRC Gambang, kita masih ada 51 peratus baki kapasiti iaitu 697 tempat lagi. Yang telah diisi setakat ini sebanyak 683 tempat daripada 1,380 tempat yang disediakan,” katanya.
Menurut beliau lagi, sebanyak 62 peratus kapasiti masih berbaki di lima Pusat Kuarantin yang dibuka di seluruh Pahang.
“Di i-KPKT sebanyak 16 tempat telah diisi dan kapasiti yang kosong adalah sebanyak 88 tempat atau 85 peratus daripada 104 tempat yang disediakan.
“Di Pusat Latihan Guru Dalam Perkhidmatan (PLGDP) Temerloh berbaki 63 peratus atau 50 tempat lagi, dan di Institut Aminuddin Baki (IAB) Bentong, masih berbaki 62 peratus atau 113 tempat.
“Manakala di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) Muadzam Shah pula masih berbaki 59 tempat (59 peratus), di Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) pula berbaki 58 tempat (51 peratus), dan di Cool Point Hotel Cameron Highlands pula berbaki 17 tempat (39 peratus),” katanya.
Sebanyak 1,750 individu ditempatkan di PKRC, Pusat Kuarantin, dan Kuarantin kendiri di hotel dengan 1,352 daripadanya merupakan warganegara dan 398 bukan warganegara. -PAHANGMEDIA