Oleh: Shazli Sufi Che Unik
KUANTAN, 3 JULAI 2021: Pengumuman pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) hanya membabitkan Mukim Kuala Kuantan sahaja dan bukan melibatkan seluruh Daerah Kuantan sebagaimana yang ditularkan di dalam media sosial.
Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Pahang, Encik Mohd Zairashahli Shah Zakaria berkata, Kuala Kuantan ini terdiri daripada dua Mukim iaitu Mukim Kuala Kuantan 1 dan Mukim Kuala Kuantan 2.
“Dimaklumkan penyumbang angka kes jangkitan tertinggi adalah daripada dua mukim tersebut maka perlaksanaan PKPD di Mukim Kuala Kuantan tersebut bertujuan untuk menyekat penularan jangkitan kedalam mukim-mukim lain yang berada di Daerah Kuantan,” katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan PKPD ini dilihat mengejut kerana keputusan segera perlu diambil bagi bertujuan membendung jangkitan ini secepat mungkin dan seterusnya memastikan penularan jangkitan dapat diputuskan.

“Masyarakat diminta memahami SOP yang telah ditetapkan dan tidak panik apabila mendengar pelaksanaan PKPD yang diumumkan oleh pihak Kerajaan kerana keputusan tersebut dibuat selepas melihat kepada laporan kes jangkitan yang semakin tinggi di daerah Kuantan,” katanya.
Selain itu, kemunculan varian baru COVID-19 dalam komuniti di daerah di Pahang iaitu Varian Delta dari India dan Varian Beta daripada Afrika yang dikenalpasti mudah merebak dan merbahaya.
“Kawalan dan pemerhatian akan terus diperketatkan oleh pihak berkuasa dalam membendung penularan jangkitan kerana Varian Beta daripada Afrika ini dilihat lebih cepat menjangkiti dan berbahaya,” katanya.
Justeru beliau berharap masyarakat seluruhnya memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa dalam membendung penularan wabak ini daripada terus berada di dalam komuniti kerana untuk memastikan rantaian jangkitan ini diputuskan ia memerlukan kerjasama semua dalam mematuhi SOP yang ditetapkan. – PAHANGMEDIA