BERA, 29 JUN 2021: Perlaksanaan Program Outreach Vaksinasi COVID-19 yang dilaksanakan oleh Kerajaan Pahang memberi impak positif apabila tahap kesedaran masyarakat khususnya Orang Asli semakin bertambah dengan peningkatan jumlah penduduk yang bersetuju untuk divaksin.
Ketua Unit Hal Ehwal Orang Asli Pejabat Menteri Besar Pahang, YH Dato’ Muhammad Olian Abdullah berkata, jumlah masyarakat Orang Asli yang bersetuju untuk divaksin hampir mencecah 22,000 orang setakat ini berbanding hanya 3,437 orang sahaja yang bersetuju sehingga awal Jun lalu.
Ketua Unit Hal Ehwal Orang Asli Pejabat Menteri Besar Pahang, YH Dato’ Muhammad Olian Abdullah.
“Kesedaran di kalangan masyarakat Orang Asli sudah meningkat dan untuk meningkatkan lagi peratusan vaksinasi di kalangan mereka, program outreach ini perlu diperbanyakkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) pada Program ‘Outreach’ Vaksinasi Masyarakat Orang Asli di Balai Raya Kampung Bukit Rok, di sini, hari ini.
Antara masyarakat Orang Asli yang menerima suntikan vaksin COVID-19 di Balai Raya Kampung Bukit Rok, Bera hari ini.
Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Guai, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman yang turut meninjau perlaksanaan program outreach yang melibatkan seramai 200 penduduk yang menerima suntikan vaksin COVID-19 bagi dos pertama di dewan berkenaan.
Beliau turut memberi jaminan bekalan vaksin mencukupi kepada masyarakat Orang Asli apabila menerima dos tambahan vaksin COVID-19 bagi Negeri Pahang tidak lama lagi.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Guai, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman (dua dari kanan) yang turut meninjau perlaksanaan program outreach yang melibatkan seramai 200 penduduk yang menerima suntikan vaksin COVID-19 bagi dos pertama di Balai Raya Kampung Bukit Rok, Bera hari ini.
“Setelah penerangan dibuat, mereka menunjukkan keyakinan terhadap usaha yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ini. Dengan pertambahan vaksin COVID-19 nanti, saya akan pastikan semua penduduk khususnya di perkampungan Orang Asli ini akan divaksinasikan secara keseluruhannya,” katanya.
Sementara itu, beberapa penerima vaksin COVID-19 berharap agar lebih ramai penduduk dapat menerima suntikan vaksin COVID-19 secepat mungkin bagi mewujudkan imuniti kelompok.
Pengerusi JPKKOA Kampung Bukit Rok, Encik Adnan Abu
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Kampung Bukit Rok, Encik Adnan Abu berkata, kesemua lebih 300 penduduk yang layak menerima suntikan menyambut baik program vaksinasi dan bersedia untuk menerima suntikan namun hanya 200 yang dapat diberikan vaksin COVID-19 pada hari ini.
“Penduduk kampung sudah lama menunggu pemberian vaksin COVID-19 ini, mereka semua telah bersetuju dan menyambut baik saranan kerajaan dan bersyukur kerana program ‘outreach’ ini dibawa masuk ke kampung kerana jika dijalankan di kawasan luar, mungkin perlaksanaannya sedikit sukar kerana kebanyakannya orang-orang tua,” katanya.
Ahli Jawatankuasa JPKOA Kampung Bukit Rok, Puan Aini Siloh.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Kampung Bukit Rok, Puan Aini Siloh turut bersyukur kerana program ‘outreach’ ini dapat memudahkan urusan vaksinasi di kalangan penduduk kampung.
“Terima kasih kepada pihak kerajaan kerana sudi masuk kampung saya untuk memberikan suntikan vaksin COVID-19,” katanya.
Penduduk Kampung Bukit Rok, Encik Lee Lai Cheng.
Seorang penduduk, Lee Lai Cheng pula sangat gembira selepas menerima suntikan vaksin COVID-19 dan mengakui banyak manfaat diperoleh apabila menerima vaksinasi tersebut.
“Suntikan ini adalah untuk kebaikan semua masyarakat setempat dan terutama ahli keluarga kerana kita dapat lindungi mereka, kalau kita tidak menerima suntikan, kita tidak tahu sama kita dijangkiti atau pun tidak tetapi jika kita telah divaksinasi, antibodi kita menjadi kuat dan tubuh kita dapat bertahan meskipun dijangkiti,” katanya. – PAHANGMEDIA