Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi, dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato' Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff
KUASAI DUNIA DIGITALISASI BANTU HADAPI KESAN BURUK EKONOMI AKIBAT PANDEMIK
Oleh: Fairus Mohd
KUANTAN, 23 JUN 2021: Semua pihak terutamanya pemain industri ekonomi perlu menguasai dunia digitalisasi terutamanya selepas pandemik COVID-19 merubah landskap pentadbiran dan proses urusniaga secara digital menjadi norma baharu perniagaan.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi, dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, situasi semasa telah membuka laluan kepada transformasi digital kerana perniagaan terpaksa menghadapi cabaran penutupan ruang fizikal, pergerakan terhad dan gangguan bekalan.
“Jika mahu terus bertahan dan mengekalkan pertumbuhan serta mampu berdaya saing, organisasi samada dari sektor swasta dan awam perlu menguasai digitalisasi sebagai norma baharu bagi operasi mereka pada masa hadapan.
E-Seminar Peningkatan Produktiviti Melalui Digitalisasi dan Virtual Digital Clinic, anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Pantai Timur yang diadakan melalui platform Webinar, hari ini.
“Teknologi digital membolehkan proses kerja dilaksanakan dengan lebih cepat, cekap serta fleksibel selain meningkatkan kualiti dan juga memudahkan urusniaga dengan pelanggan seperti e-payment, e-dagang dan lain-lain. Ini dapat membantu meningkatkan produktiviti serta keuntungan syarikat seterusnya memberi kesan positif kepada perniagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan E-Seminar Peningkatan Produktiviti Melalui Digitalisasi dan Virtual Digital Clinic, anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Pantai Timur yang diadakan melalui platform Webinar, hari ini.
Seminar secara maya ini turut mendapat kerjasama daripada Kerajaan Pahang, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan SME Corporation Malaysia.
Turut sama, Ketua Pengarah MPC, YH. Dato’ Abdul Latif Haji Abu Seman dan Pengarah MPC Wilayah Pantai Timur, Encik Mohd Azwan Mohd Salleh.
Sementara itu, beliau berkata peruntukan MPC di bawah program penjana bagi menjalankan Program Latihan Upskilling & Reskilling (MyReskill IOT) kepada 5,000 buah syarikat di negara ini akan dapat membantu industri tempatan terutama syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengadaptasi teknologi industri 4.0 dalam organisasi masing-masing.
“Pihak syarikat yang terpilih akan diberikan peralatan IOT secara percuma dan akan dibimbing untuk menggunakan teknologi ini bagi meningkatkan keupayaan mereka.
“Disamping itu juga, kerajaan juga telah melancarkan Dasar Industri 4.0 (Industry4wrd) yang menggariskan pelbagai inisiatif untuk membantu PKS beralih kepada proses dan sistem di bawah industri 4.0 bagi meningkatkan produktiviti mereka di mana salah satu inisiatif di bawah dasar ini ialah ‘readiness assessment’ yang memberi peluang kepada PKS untuk dinilai tahap kesediaan industri 4.0 mereka serta cadangan intervensi menggunakan teknologi industri 4.0 yang bersesuaian,” katanya.
Dalam pada itu beliau berharap agar semua peserta yang menyertai seminar mengambil peluang menjalani ‘readiness assessment’ bagi mengetahui tahap kesediaan mereka.
“Program-program yang diperkenalkan oleh MPC merupakan salah satu inisiatif di bawah program pahang produktif untuk menjadikan negeri pahang sebagai sebuah negeri yang membangun secara produktif bagi meningkatkan lagi potensi pahang sebagai destinasi pelaburan dan pelancongan di Pantai Timur,” katanya. -PAHANGMEDIA