Penguatkuasa membuat pemeriksaan SOP PKP di sebuah kilang di sini.
DUA KILANG DIPANGGIL KERANA GAGAL MEMATUHI AKTA 446
Oleh: Shazli Sufi Che Unik Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 19 JUN 2021: Dua pemilik syarikat perkilangan di Indera Mahkota di sini diminta hadir ke Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Pahang untuk memberi maklumat lanjut bagi memastikan bahawa tiada berlaku pelanggaran akta.
Timbalan Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Negeri Pahang, Encik Abdul Kadir Bin Muhamad berkata, kedua-dua kilang itu telah diperiksa oleh pihaknya dalam operasi pematuhan prosedur operasi standard (SO Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dilaksanakan di kawasan berkenaan hari ini.
Timbalan Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Negeri Pahang, Encik Abdul Kadir Bin Muhamad.
“Dua buah kilang ini dipanggil menggunakan borang F atau borang hadir untuk ke Pejabat JTK Pahang bagi mendapatkan tindakan lanjut berkaitan pekerja di syarikat tersebut.
“Satu semakan lanjut perlu dibuat bagi memastikan bahawa tiada pelanggaran akta yang dikuatkuasakan oleh JTK Pahang,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) hari ini.
Beliau berkata, terdapat beberapa akta yang dikuatkuasakan antaranya Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446 yang mana pihak majikan perlulah memohon dahulu akuan penginapan sebelum menempatkan pekerja pekerja mereka.
Jelas beliau lagi, JTK juga telah membuka satu kertas siasatan terhadap satu syarikat untuk dikenakan tindakan kompaun kerana melanggar Akta 446 kerana menyediakan penginapan tanpa mendapat perakuan dahulu.
Sementara itu, Penolong Pegawai Penguatkuasa Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Encik Isma Arif Azizi berkata, sebanyak empat kompaun telah dikeluarkan oleh pihak MBK kilang yang terlibat dalam operasi hari ini.
“Antaranya ialah atas kesalahan tidak mempamerkan tulisan Jawi di papan tanda premis perniagaan dan beroperasi melebihi had kapasiti yang dibenarkan sepanjang PKPD,” katanya.
Selain itu Jabatan Kesihatan Negeri Pahang telah mengeluarkan empatt kompaun berjumlah RM14,500 atas kesalahan melibatkan MySejahtera.
Operasi pemantaunan bersepadu ini diketuai oleh Unit Antarabangsa, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang bertujuan membentung pelanggaran SOP PKP dan PKRD selain dalam usaha membanteras penularan jangkitan COVID-19 dalam kalangan pekerja sektor perkilangan. – PAHANGMEDIA