KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menghadiri mesyuarat dan mendengar persembahan taklimat berkaitan Tasik Chini yang turut dihadiri YAB. Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail di Istana Abdulaziz, Kuantan, hari ini.

KDYMM PEMANGKU RAJA PAHANG BERKENAN BINCANG, DENGAR PERSEMBAHAN TAKLIMAT BERKAITAN TASIK CHINI

Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 18 JUN 2021: Sebagai langkah proaktif menyelesaikan isu Tasik Chini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mendengar persembahan taklimat berkaitan tasik itu daripada Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Istana Abdulaziz di sini hari ini.

Persembahan taklimat yang bermula jam 3 petang itu turut membincangkan dengan lebih lanjut mengenai langkah-langkah pemeliharaan dan pemuliharaan Tasik Chini.

Taklimat dipersembahkan oleh Naib Canselor UKM, YBhg. Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman serta Penyelidik PPTC UKM.

Turut berangkat YAM Tengku Panglima Raja Tengku Amir Naseer Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Hadir sama YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB Setiausana Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak; Pengarah Pejabat Tanah Dan Galian Negeri Pahang, YH Dato’ Haji Fadzilla Salleh; Pengarah Perhutanan Negeri Pahang, YH Dato’ Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin; Pengarah Jabatan Mineral Dan Geosains Negeri Pahang, YBhg. Tuan Haji Nurul Huda Romli dan Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Pahang, YBhg. Tuan Haji Mohd Sani Mat Daud.

KDYMM Tuanku dalam satu kenyataan media pada 14 Jun lalu telah menitahkan supaya kawasan Hutan Simpan Chini yang sedia ada seluas 4,600 hektar diluaskan lagi kepada kira-kira 6,000 hingga 7,000 hektar bagi menjaga kepentingan flora dan fauna di kawasan Tasik Chini dan sekitar.

Baginda bersetuju dengan langkah Kerajaan Negeri yang tidak mengeluarkan sebarang kelulusan aktiviti perlombongan baharu di kawasan Tasik Chini sejak tahun 2019.

KDYMM Tuanku juga mengambil berat dan akan sentiasa memantau usaha yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri untuk memastikan alam sekitar di Negeri Pahang sentiasa terjaga.

Baginda menyeru agar semua pihak untuk sentiasa mengamalkan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Urus Tadbir yang baik (ESG – Environmental, Social & Governance) supaya khazanah alam hari ini akan terus kekal dan dapat dinikmati oleh generasi akan datang.

Sementara itu YAB Menteri Besar Pahang dalam satu kenyataan media pada 15 Jun lalu memaklumkan Kerajaan Pahang akan bertindak segera atas titah saranan KDYMM Tuanku berhubung meluaskan kawasan Hutan Simpan Kekal Tasik Chini.

Beliau berkata, peluasan itu akan dapat menambahkan lagi liputan kawasan hutan demi menjagai dan memelihara serta memulihara mutu alam sekitar Tasik Chini yang mana luas badan airnya (water body) sahaja ialah antara 200 hektar dan 700 hektar mengikut musim.-PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download