PARLIMEN, DUN PERLU KEMBALI BERSIDANG DEMI AMANAH BERSAMA
KUANTAN, 17 JUN 2021: Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang mahu sidang Parlimen diadakan secepat mungkin adalah sebagai bukti bahawa Institusi Diraja begitu mengambil berat soal kelangsungan amalan demokrasi di negara ini.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, YB. Dato’ Sri Haji Mohd. Sharkar Haji Shamsudin berkata, apa yang dizahirkan tersebut sekali gus meletakkan kedudukan institusi Raja-raja Melayu sebagai institusi yang paling dihormati dan menjadi harapan rakyat berbilang kaum terutama pada saat getir negara berdepan dengan wabak pandemik COVID-19.
“Pertamanya saya menjunjung kasih terhadap titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja Melayu yang menzahirkan pandangan sesi Persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan ahli Dewan Rakyat.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, YB. Dato’ Sri Haji Mohd. Sharkar Haji Shamsudin
“Justeru ini juga sebagai bukti bahawa Institusi Diraja begitu mengambil berat soal kelangsungan amalan demokrasi bagi memastikan wujud budaya semak dan imbang sebagai mekanisma penting untuk mengelakkan salah laku, ketirisan dan ketidakcekapan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya hari ini.
Beliau berkata, Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara.
“Parlimen ialah institusi perundangan tertinggi dalam negara yang menggubal undang-undang. Jika dilihat punca sebenar polemik pada hari ini, maka adalah sewajarnya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) kembali bersidang agar semua pihak dapat bersama-sama menjaga amanah yang diberikan.
“Persidangan Parlimen dan DUN harus diadakan segera sebagai mekanisme semak dan imbang selaras dengan prinsip demokrasi berparlimen di negara ini.
“Konsep semak dan imbang ini cukup penting bagi membolehkan setiap wakil rakyat mengimbangi kuasa eksekutif khususnya jemaah menteri terutama membabitkan soal perbelanjaan ketika negara sedang berdepan wabak pandemik COVID-19,” katanya.
Jelasnya lagi, ketelusan dalam aspek perbelanjaan negara cukup penting kerana ia melibatkan wang rakyat, jadi menjadi peranan wakil rakyat di Parlimen dan DUN untuk menjadi semak dan imbang dalam perkara tersebut.
“Selain soal semak dan imbang, dengan adanya sidang Parlimen nanti, ia juga membolehkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) meleraikan cakap-cakap bahawa darurat ini adalah darurat politik semata-mata.
“Apabila Parlimen bersidang kelak, kerajaan PN juga boleh membuktikan bahawa kerajaan ini mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan bukannya seperti dakwaan bahawa ia sudah pun tumbang.
“Sudah tentu dalam negara demokrasi berparlimen, kita memerlukan sebuah kerajaan yang stabil dan kuat untuk memerintah negara tercinta ini terutama dalam menguruskan wabak pandemik COVID-19,” katanya. – PAHANGMEDIA