KUANTAN, 11 JUN 2021: Pelbagai proses dan agensi terlibat dalam memberi kelulusan terhadap sesebuah projek perlombongan di Pahang yang melibatkan Kerajaan Pahang dan juga Kerajaan Persekutuan.
Pejabat Tanah Dan Galian Pahang menjelaskan, sesebuah permohonan berkaitan pajakan melombong tidak akan mendapatkan kelulusan jika tidak mendapat kelulusan daripada kedua-dua pihak.
Berdasarkan laporan yang dikeluarkan pejabat itu, tindakan di peringkat Kerajaan Negeri ialah penerimaan permohonan, permohonan dirujuk kepada lapan agensi teknikal untuk ulasan, pengesyoran Jawatankuasa Sumber Mineral Negeri, kelulusan pihak berkuasa negeri (PBN), pemakluman kelulusan, pembayaran kelulusan, penyediaan pelan akui oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dan pendaftaran pejakan melombong.
Laporan itu juga menjelaskan, tindakan di peringkat agensi Kerajaan Persekutuan pula melibatkan penyediaan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) kepada Jabatan Alam Sekitar oleh pemohon (sekiranya tapak dikategorikan sebagai kawasan sensitif) dan permohonan Surat Kelulusan Skim Pengendalian Melombong (SKPSM) kepada Jabatan Mineral dan Geosains bagi tujuan memulakan operasi atau kerja-kerja melombong.
Laporan itu turut memaklumkan kuasa pihak berkuasa negeri berdasarkan Enakmen Mineral Negeri Pahang 2001 adalah sehingga pengeluaran atau pendaftaran pajakan melombong manakala kuasa peringkat Kerajaan Persekutuan pula berdasarkan Akta Pembangunan Mineral 1994 (Akta 525) menerusi skop kebenaran pengoperasian sesuatu aktiviti perlombongan.
Laporan ini dikeluarkan bagi agar tidak wujud sebarang kekeliruan yang boleh mendatangkan pelbagai persepsi negatif sehingga tidak menggambarkan keadaan sebenar mengenainya.-PAHANGMEDIA