Oleh: Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 27 MEI 2021: Pemakluman melalui surat yang dihantar ke kediaman di kawasan yang mempunyai kes positif COVID-19 antara langkah awal yang diambil oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Raub bagi mengekang penularan wabak itu.
Pengerusinya yang juga Pegawai Daerah Raub, YH. Dato’ Mohammad Shahid Ismail berkata, pihaknya mengambil beberapa langkah awal dalam memastikan tiada penularan di lokaliti lain di daerah berkenaan.
“Pada peringkat awal kes dikesan di satu lokaliti, kita akan segerakan kawalan ke atas penduduk di lokaliti berkenaan.

“Contohnya kita kesan ada kes positif COVID-19 di Taman A, jadi kita akan maklumkan kepada penduduk di situ mengenai perkara ini dan kita juga menghantar surat pemakluman ke setiap rumah.
“Surat pemakluman ini diberi bertujuan untuk memastikan penduduk tahu kawasan berkenaan ada kes, selain memberi nasihat mengenai pematuhan prosedur operasi standard (SOP),” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) hari ini.
Beliau berkata, hebahan kepada penduduk juga turut dibantu oleh beberapa agensi lain sekiranya terdapat kes melebihi dua individu positif di kawasan tersebut.
“Kita juga dibantu oleh Jabatan Penerangan dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dalam membuat hebahan di kawasan terlibat.
“Selain itu, pihak Pusat Kesihatan Daerah (PKD) juga membuat penilaian risiko kepada penduduk di kawasan berkenaan sekiranya ada yang bergejala, mereka diminta menjalani ujian calitan,” katanya.
Tambah beliau lagi, pihak PKD juga akan membuat penilaian risiko dalam kadar segera kepada penduduk di kawasan yang dilaporkan mempunyai kes positif.
“Bila kita dapat tahu kawasan tersebut ada kes positif, PKD akan terus jalankan penilaian risiko di seluruh lokaliti berkenaan iaitu dengan cara menembual, periksa MySejahtera dan periksa tahap kesihatan.
“Sekiranya penilaian risiko menunjukkan bahawa kawasan ini boleh menyebabkan penularan sekiranya tidak dikawal, kita jalankan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di lokaliti terlibat.
“Pelaksanaan PKPD ini adalah satu cara mudah untuk mengawal penularan daripada terus berlaku namun kita terpaksa melibatkan banyak pihak iaitu polis, RELA, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Majlis Daerah Raub untuk memastikan ianya dapat dikawal,” katanya.
Beliau berkata, perang melawan COVID-19 ini adalah satu perperangan yang berterusan dan tidak ada istilah berehat dalam memastikan ianya dapat diputuskan sepenuhnya.
“Bila umum PKPD di empat lokaliti di Raub ditamatkan, bukan bermakna kita telah menang tapi ia masih proses yang berterusan berjalan. Bila kita umum PKPD di Taman Dato’ Tengku Paris, Felda Tersang 1,2 dan 3 di Mukim
Batu Talam, ia bermakna kita masih dalam perjuangan.
Beliau berkata, Raub akan menggunakan kaedah yang sama seperti sebelum ini dalam mengawal wabak ini daripada terus menular. -PAHANGMEDIA