Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohammad Noor Yusof Ali menasihati individu yang dikenakan tindakan kompaun RM5,000 kerana cuba merentas sempadan negeri tanpa permit pergerakan di Balai Polis Gebeng, Kuantan hari ini.

38 INDIVIDU CUBA RENTAS NEGERI DIKOMPAUN RM5,000 SEORANG

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 09 MEI 2021 : Seramai 38 individu dikenakan tindakan kompaun RM5,000 seorang setelah cubaan untuk merentas sempadan negeri tanpa permit pergerakan yang dibenarkan gagal.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohammad Noor Yusof Ali berkata kesemua mereka yang berusia 19 tahun sehingga 60 tahun dikenakan kompaun ini semasa pemeriksaan Operasi Khas Rentas Negeri di sempadan daerah Kuantan dan Kemaman, Terengganu, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohammad Noor Yusof Ali memeriksa kenderaan yang cuba melintasi sempadan negeri di satu sekatan jalan raya di Kuantan, hari ini.

“Satu aturgerak Operasi Khas Rentas Negeri untuk sempadan daerah Kuantan dengan sempadan daerah Kemaman , Terengganu telah kita lancarkan dan hasil daripada operasi yang telah dijalankan ini selama lebih kurang dua jam setengah telah kita berjaya menahan, membuat pemeriksaan 38 kenderaan dan juga orang.

“Di mana hasil pemeriksaan mendapati hanya dua orang lagi sedang kita periksa, didapati yang lain tidak mempunyai sebarang permit pergerakan yang diluluskan atau pun diberikan kepada pihak polis, jadi kita dapati kesalahan rentas negeri kompaunnya RM5,000,” katanya ketika ditemui di Balai Polis Gebeng, di sini.

Beliau berkata pihaknya telah menempatkan pemerhatian dan sekatan jalan raya (SJR) di Kilometer (KM) 22 jalan Kuantan ke Jabor kerana mendapat maklumat ia sering digunakan bagi tujuan rentas daerah dan negeri tanpa kebenaran pihak polis.

“38 individu ini kita jalankan pemeriksaan melalui kad pengenalan mereka dan jumlah kenderaan saya boleh lihat di sini lebih kurang dalam 20 ke 25 buah. Ada yang individu dan ada yang bersama keluarga dan ada juga yang membawa budak-budak.

“Daripada 38 individu ini, sebahagian besarnya berada di Kemaman, saya boleh katakan 85 peratus. Ada juga yang alamat di Kuantan tapi katanya berurusan di Kemaman. Jadi apa urusan ini pun mesti mendapat permit.

“Jadi saya merasa dukacita perkara sebegini masih berlaku walaupun telah kita maklumkan, saya ingat melalui media sosial pengumuman oleh pihak Kerajaan jelas dan yang terbaharu oleh kerana didapati ketara kesalahan rentas negeri tanpa permit maka satu jadual penilaian yang terbaru telah dibuat. Di mana bagi beberapa kesalahan termasuklah kesalahan rentas negeri,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohammad Noor Yusof Ali memeriksa kenderaan yang cuba melintasi sempadan negeri di satu sekatan jalan raya di Kuantan, hari ini.

Beliau berkata tindakan tegas terpaksa diambil oleh pihaknya bagi mengekang penularan wabak COVID-19 si daerah ini khususnya.

“…hasil saya melihat bahawa yang kita temubual, ada kebanyakannya (yang dikenakan kompaun) untuk membeli barangan. Kita faham sekarang menghampiri Aidilfitri, tapi ia bukan satu alasan untuk mengingkari SOP yang telah ditetapkan.

“Jadi di sini jelas mereka tidak peduli, mereka tidak kisah, dan hanya mementingkan diri sendiri yang boleh membahayakan masyarakat sekeliling. Jadi perbuatan ini merupakan satu kesalahan di bawah Perkara 4 (1) Akta Pencegahan Penyakit Berjangkit 1988 dan kompaunnya telah ditetapkan sebanyak RM5,000,” katanya.

Mengulas mengenai rayuan bagi kompaun yang dikenakan bagi kesalahan berkenaan, beliau berkata mereka yang dikenakan kompaun perlu berurusan dengan Pejabat Kesihatan Daerah terlibat.

“Hak untuk membuat rayuan adalah hak mereka. Saya pun tadi dah jelaskan kepada mereka, kami hanya menjalankan tugas.

“Kalau rayuan, berurusanlah dengan Pejabat Kesihatan Daerah. Jadi di sini kita keluarkan di daerah Kuantan jadi berurusan di PKD Kuantan. Dipertimbang atau tidak, itu terpulang kepada pihak ketua jabatan,” katanya.

Beliau merayu orang ramai supaya mematuhi arahan yang dikeluarkan bagi mengelakkan dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa.

“Saya merayu, cukuplah tindakan sebegini dikenakan, patuhilah. Kita kena sedar, kita kena sabar dan patuhi perkara ini. Kalau tak boleh buat persiapan yang meriah untuk sambutan hari raya, buatlah dalam suasana yang sederhana. Kalau nak bergerak juga, minta permit,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download