Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd Latib
KUANTAN, 9 MEI 2021: Penduduk Tanah Putih Baru di sini yang ‘lari’ sebelum Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan pada 5 Mei lalu mula memberi kerjasama dan tampil membuat saringan COVID-19 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini.
YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak berkata, semalam pihak polis menerima banyak panggilan daripada penduduk yang terlibat yang mahu membuat ujian saringan.
“Setakat ini mereka sudah datang dan bagi kerjasama yang sangat baik kepada pihak berkuasa untuk dibuat saringan ini. Kita harapkan lebih ramai yang tampil untuk membuat ujian saringan COVID-19,” katanya ketika ditemui media selepas melawat proses saringan COVID-19 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Polis Daerah Kuantan, Tuan Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali dan Pegawai Daerah Kuantan, YM Tengku Dato’ Nor Asmaliza Ku Lah.
Jelas beliau lagi, Kluster Tanah Putih Baru ini masih lagi penyumbang terbesar kes-kes baharu di Kuantan dan setakat ini 137 kes dilaporkan dalam masa tidak sampai seminggu.
“Sebab itu kita bimbang sangat dengan Kluster Tanah Putih Baru ini. Namun kita ucap terima kasih kepada polis yang telah berjaya memujuk penduduk untuk datang pada hari ini.
“Saringan COVID-19 ini akan dilaksanakan sehingga esok dan bukan sahaja untuk Kluster Tanah Putih Baharu malah untuk kontak rapat kluster lain di Kuantan.
“Kita jangka setiap hari kira-kira 500 individu akan hadir menjalani ujian saringan ini. Kalau ada keperluan kita akan lanjut sehingga beberapa hari lagi,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya sangat berpuas hati dengan perkembangan kes COVID-19 di Raub yang dilihat menunjukkan trend penurunan.
“Begitu juga di Genting Highland dan Rompin, nampak ada kemajuan dan tiada kes baharu. Tetapi sedikit kegusaran di Jengka 19, Maran. Kita setakat ini memantau keadaan di situ,” katanya. – PAHANGMEDIA