Pasukan Task Force COVID-19 Pahang menggunakan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bagi membawa sampel pesakit dari Pulau Tioman meskipun keadaan cuaca yang tidak menentu.

CUACA BURUK TIDAK HALANG OPERASI BANTUAN PESAKIT COVID-19 DI TIOMAN

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto: JBPM Negeri Pahang

KUANTAN, 24 MAC 2021 : Keadaan cuaca yang tidak menentu dengan hujan lebat di Negeri Pahang terutama di daerah Rompin tidak mengganggu operasi bantuan bagi pesakit COVID-19 di daerah tersebut terutama melibatkan kes di Pulau Tioman.

Lokasi tersebut sebelum ini telah diisytiharkan untuk menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) bermula 16 Mac lepas dan akan berakhir 29 Mac ini selepas melaporkan jumlah kes positif mendadak di lokaliti dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti yang tinggi.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Pahang, Encik Zairasyahli Shah Zakaria.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Pahang, Encik Zairasyahli Shah Zakaria berkata, sehingga kini pihak berkuasa dan anggota keselamatan melakukan rondaan dan sekatan jalan raya (SJR) bagi lokasi yang dapat dihubung menerusi jalan darat bagi mengawal pergerakan orang ramai khususnya di Kampung Juara dan Kampung Tekek.

“Manakala bagi kampung yang hanya dapat dihubungkan menerusi jalan air pula, pihak berkuasa melakukan rondaan bagi memastikan penduduk kekal di rumah masing-masing bagi mengawal penularan pandemik terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) ketika dihubungi di sini, semalam.

Katanya, kesemua pesakit yang disahkan positif bagi kategori 1 dan 2 iaitu berisiko rendah dan tidak memerlukan bantuan peralatan perubatan telah di tempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) sementara di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tekek bagi mendapatkan rawatan.

Bagi 26 pesakit kategori 3 dan 4 yang berisiko dan memerlukan bantuan peralatan perubatan pula akan dipindahkan ke Hospital Rompin pada hari esok menggunakan perkhidmatan feri.

Dalam perkembangan lain, Encik Zairasyahli Shah berkata, seramai lapan doktor dari Hospital Rompin akan diterbangkan ke pulau terbabit bagi membantu pasukan perubatan di sana selain membawa pulang sampel pesakit dari pulau berkenaan.

“Namun, ekoran cuaca yang tidak begitu baik, kesemua lapan doktor berkenaan terpaksa bergerak ke Kuantan sebelum berlepas ke Tioman bagi menjalankan misi bantuan mereka,” katanya.

Pulau peranginan itu dikenakan PKPD apabila wujud Kluster Kampung Air Batang di sebuah penginapan di Pulau Tioman tersebut. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download