Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib
KUANTAN, 10 DISEMBER 2020: YH. Dato’ Ahmad Hairi Haji Hussain hari ini mengangkat sumpah sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) yang baharu di hadapan KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Majlis angkat sumpah berkenaan diadakan sempena Mesyuarat Khas Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang yang berlangsung di Dewan Perdana, Hotel Grand Darulmakmur di sini hari ini.
KDYMM Pemangku Raja Pahang dalam titah baginda menzahirkan ucapan tahniah atas pelantikan YH. Dato’ Ahmad Hairi sebagai Ketua Pegawai Eksekutif MUIP yang baharu.
Baginda juga mengucapkan tahniah atas pelantikan dua orang Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MUIP iaitu Encik Khairuddin Ismail dan Dr. Asmadi Abdul Rahman.
“Semoga pelantikan kedua-dua jawatan ini dapat membantu saya dan Timbalan Yang Dipertua untuk mentadbir Majlis dengan lebih cemerlang,” titah baginda.
Dalam majlis yang sama turut berlangsung majlis angkat sumpah Ahli Majlis MUIP yang baharu iaitu YH. Dato’ Dr. Haji Zulkifle Haji Ali Al-Hafiz yang juga Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).
Mesyuarat yang bermula pada pukul 10.30 pagi itu turut dihadiri bersama oleh paduka kekanda selaku Timbalan Yang Dipertua MUIP, Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja Leftenan Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.
Hadir sama, Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail. – PAHANGMEDIA
899 total views, 3 views today